Pembaikan Rumah Pam Kemubu Dipantau Rapi, Siap Menjelang 2025

YB Dato' Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail,
Exco Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi Negeri Kelantan

Oleh : Che Maziah Mat

KOTA DARULNAIM, 23 Julai : Kerajaan Negeri Kelantan melalui kerjasama Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) dan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) sedang melaksanakan dua komponen utama dalam usaha menangani isu sumber bekalan air dari Sungai Kelantan ke kawasan sawah padi KADA.

Menurut Exco Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi YB Dato’ Tuan Mohd Saripuddin Tuan Ismail, dua projek kini sedang berjalan serentak termasuklah pembinaan Stesen Pam Kemubu 3 dan sistem pam boleh alih di Stesen Pam Kemubu dan Lemal.

Katanya, projek pembaikan Rumah Pam Kemubu yang dijangka siap sepenuhnya pada November tahun ini telah mencapai kemajuan sebanyak 68%. Namun begitu, projek ini berdepan beberapa cabaran teknikal, termasuk keperluan kerja tambahan akibat perubahan di tapak, kewujudan batu hampar keras di tebing sungai yang melambatkan kerja-kerja pembinaan, serta perubahan pelan laluan kabel dan penambahan kotak sambungan.

Sementara itu, bagi projek Pam Boleh Alih di Stesen Pam Kemubu dan Lemal yang melibatkan kerja mereka bentuk, membina dan menyiapkan sistem pam mudah alih untuk pengairan, ia dijadualkan siap pada Ogos tahun ini. Namun, kemajuan fizikal projek setakat ini hanya mencapai 49%, berbanding sasaran 99%, menunjukkan kelewatan sebanyak 50% atau 136 hari.

“Isu ini telah dibawa ke Mesyuarat Contract Coordination Panel (CCP) yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha KPKM pada 30 April lalu dan kini sedang dalam proses penamatan oleh pihak Kementerian.

“Kita sentiasa memantau dan mengambil langkah sewajarnya agar pelaksanaan kedua-dua projek ini dapat disiapkan mengikut jadual dan memberikan manfaat besar kepada para pesawah,” katanya ketika menjawab soalan YB Saizol Ismail daripada Salor di Persidangan Dewan Undangan Negeri, hari ini.

YB Saizol Ismail,
Ahli Dewan Negeri (ADN) Salor


Post a Comment

0 Comments