KOTA BHARU: Peranan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) perlu dipertingkatkan selaras badan itu sebagai struktur akar umbi yang penting dalam komuniti.
Pengarah Urusetia Pembangunan Penghulu Negeri Kelantan, Haji Zulkifli Mamat berkata, peranan MPKK membantu kerajaan membangun negeri dan negara ke arah kesejahteraan rakyat.
“Oleh itu gerak kerja MPKK perlu lebih tersusun, menyeluruh dan berpaksikan prinsip Islam sebagai dasar utama pentadbiran komuniti,” katanya pada sesi taklimat khas sempena perasmian penubuhan MPKK 2025 peringkat parlimen Kubang Kerian di sini semalam.
Perasmian program itu disempurnakan Adun Pasir Tumboh Dato' Abdul Rahman Yunus. Turut hadir Adun Salor Saizol Ismail dan Setiausaha PAS Kubang Kerian Mohd Nuri Mad Yaacob.
Hadir sama Ahli-ahli Jawatankuasa PAS Kubang Kerian Ustaz Wan Abdullah Wan Ali, Ustaz Muzani Mohammad dan Ustaz Zahari Mohd Nor.
Di negeri-negeri diterajui pembangkang selain MPKK terdapat Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) yang dilantik dalam kalangan pemimpin cawangan Umno dan Pakatan Harapan.


0 Comments