Kelantan Future Leaders Institute gerakkan DUN Belia Kelantan, sedia platform kepimpinan muda


KOTA BHARU, 15 Julai 2025 – Kelantan Future Leaders Institute (KFLI) mengadakan kunjungan hormat ke atas Speaker Dewan Negeri Kelantan, YB Dato’ Sri Amar D’Raja Dato’ (Dr) Mohd Amar bin Abdullah, bagi membincangkan pelaksanaan DUN Belia Kelantan sebagai platform latihan kepimpinan generasi muda.

Delegasi KFLI diketuai Setiausaha Eksekutif, Mohd Ridhuwan Che Musa, memaklumkan bahawa inisiatif tersebut digerakkan selaras dengan tema besar institusi itu, iaitu “Melahirkan Negarawan Qawiyyul Amin”; pemimpin yang berkeupayaan (qawiyy) dan berintegriti (amin).

“DUN Belia Kelantan bertujuan memberi pendedahan awal kepada anak muda tentang sistem perundangan dan proses penggubalan dasar negeri, selain membuka ruang kepada suara belia dalam kerangka rasmi dan konstruktif,” kata Ridhuwan.


Tambahnya, program tersebut juga bakal merangkumi simulasi sidang dewan, bengkel kepimpinan dan sesi libat urus bersama pemimpin negeri serta tokoh-tokoh berpengalaman.

Dato’ Mohd Amar dalam pertemuan itu menyambut baik hasrat tersebut dan menzahirkan komitmen untuk memperkukuh penyertaan belia dalam wacana kenegaraan dan institusi demokrasi negeri.

Turut memberi sokongan kepada inisiatif ini ialah YB Zamakhshari Muhamad, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat Negeri Kelantan, yang juga bertindak selaku Penasihat kepada KFLI. KFLI merupakan sebuah badan latihan kepimpinan belia Kelantan yang memberi penekanan kepada pembinaan idealisme, integriti dan kemahiran pentadbiran berasaskan nilai Islam dan kenegaraan.



Post a Comment

0 Comments