Oleh ASLANI M
MUZIUM al-Quran Narathiwat berusaha memulih semula Istana Raja Legeh yang kini semakin usang dimamah usia. Istana itu pernah menjadi kediaman Kesultanan Patani.
Rumah kayu lama terbabit sekarang berada di lot milik penduduk bukan Islam di Narathiwat.
Usaha untuk membina semula Istana Raja Legeh digerakkan Pengasas Pusat Manuskrip Madrasah al-Ahmadiah al-Islamiah Narathiwat, Ustaz Muhammad Lutfi Ahmad Samae.
![]() |
| Muhammad Lutfi |
Istana itu akan dibina semula dengan menggunakan kayu chengal di lokasi khas di hadapan Madrasah al-Ahmadiah al-Islamiah Narathiwat.
“Kira-kira 1 juta Baht diperlukan bagi membina semula istana Raja Legeh dalam bentuk asal seperti yang terdapat di Narathiwat.
“Bangunan asal istana tersebut setinggi dua tingkat akan dibina semula oleh tukang mahir menggunakan kayu chengal,” katanya ketika ditemui delegasi Jabatan Arkib PAS Kelantan baru-baru ini.
Jeli
Raja Legeh sebelum ini berpusat di Ayer Lanas, Jeli, Kelantan. Wilayah Legeh ketika itu menempatkan pemerintahan Tuan Long Deraman bersempadan dengan Jembal di Kota Kubang Labu.
Manakala sebelah baratnya bersempadan Reman, utaranya Pujut dan Sai di timur laut.
Berdasar kajian Azizul Farhan, carta Salasilah Keturunan Raja-Raja Kelantan, mencatat salah seorang anak Long Nik Dato Pujud bernama Long Abdul Rahman (Long Deraman) ditabal sebagai Raja Legeh sebelum tahun 1749.
Catatan lain pula menjelaskan Sayyid Ali Nurul Alam atau Syeikh Ali Alim membuka Legeh pada abad ke-15.
Beliau merupakan putera kepada Sayyid Hussein Jamaluddin al-Kubro dan Puteri Syahirah (Puteri Selindung Bulan).
Syeikh Ali mendalami ilmu agama di Patani dan Timur Tengah. Legeh dibuka sebagai sebuah penempatan di Jeli.
Ketika itu Syeikh Ali diberi peranan sebagai perdana menteri kerajaan Chermin. Usaha dakwah di Legeh diteruskan putera bongsunya, Syeikh Wan Muhammad Shalih al-Laqihi.
Raja Jembal Sultan Umar 1676–1721 dicatat menyerah Kota Bukit Jarum, Pasir Mas di Legeh kepada Tuan Long Bahar.
Raja Long Bahar kemudian ditabalkan sebagai Raja Jembal pada 1721. Legeh juga dikatakan ditadbir terus Raja Jembal.
Setelah Tuan Long Deraman mangkat pada 1735, Legeh ditadbir Tuan Long Nik. Tuan Long Nik merupakan putera kepada Tuan Long Deraman dan Tuan Wan Kembang Raja Long Sulaiman.
Runtuh
Kedaulatan Legeh berakhir di zaman Raja Legeh Tuan Nik Dah (Nik Diah), di mana terpaksa berundur dalam peperangan antara Patani dan Siam pada 1832.
Sebelum era kegemilangan Raja Legeh berakhir usaha untuk mempertahankan Kesultanan Patani digemblingkan Tuan Nik Diah dengan bantuan Tuan Nik Dih Raja Nongcik, Tuan Kundur Raja Jala dan Tuan Sulong Raja Patani.
Mereka berjuang mempertahankan Kerajaan Patani daripada serangan tentera Siam yang bergabung dengan tentera dari Chenak, Singgora, Ligor dan Bangkok.
Menurut Azizul, selepas Tuan Nik Dih Raja Nongcik mangkat, tentera Melayu terpaksa berundur untuk menyusun strategi dari luar Patani.
“Setelah berundurnya Tuan Nik Dah dari Legeh, Nai Phya lantik orang kepercayaannya, Nik Bongsu menjadi Raja Legeh. Nik Bongsu kemudian memindahkan pusat pentadbiran Legeh ke Tanjung Mas.
“Negeri Legeh akhirnya tumbang ke tangan Siam akibat pengkhianatan terhadap bangsa,” katanya pada catatan di laman sosial.
Ayer Lanas, Jeli merupakan ibu negeri kerajaan Legeh sebelum ia dipecahkan pada 1902 dan Perjanjian Bangkok 1909.
Hari ini Legeh merangkumi sebahagian wilayah Narathiwat dan sebahagian lagi berada di Jeli, Kelantan.




0 Comments