![]() |
YB Dato' Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail, Exco Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi Negeri Kelantan |
Oleh : Che Maziah Mat
KOTA DARULNAIM, 23 Julai : Syarikat-syarikat milik Kerajaan Negeri memainkan peranan penting dalam menyumbang kepada pembangunan sektor pertanian makanan negeri melalui pelbagai projek dan inisiatif.
Menurut Exco Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi, YB Dato’ Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail, antara syarikat yang terlibat dalam pembangunan ini termasuklah Kumpulan Pertanian Kelantan Berhad (KPKB), Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Kelantan (PKPNK) dan Kelantan Biotech Corporation Sdn. Bhd (KBCSB).
Katanya, KPKB telah melaksanakan pelbagai projek pertanian termasuk Projek Pembangunan Tanah Terbiar yang melibatkan kawasan seluas 49.4 ekar dengan penyertaan seramai 18 orang peserta. Projek ini merangkumi tanaman seperti tembikai, ubi keledek, timun batang dan labu.
Sementara itu, Projek Fertigasi melibatkan kawasan seluas 18.87 ekar dengan penyertaan 30 peserta dari Jajahan Bachok dan Tanah Merah, melibatkan penanaman sebanyak 30,000 polibeg. Selain itu, tanaman bawang turut diusahakan di kawasan seluas 20 ekar di Pasir Mas dan Tanah Merah.
Projek tanaman Harum Manis pula dilaksanakan di kawasan seluas 10 ekar di Bachok dengan penglibatan 10 peserta. Sementara itu, projek ternakan ayam penelur dijalankan di kawasan seluas 0.0861 ekar (150 kaki persegi) melibatkan penyertaan 25 peserta.
Dalam masa yang sama, PKPNK sedang membangunkan Projek Agrovalley Rong Chenok di Pasir Mas yang melibatkan kawasan seluas 270 ekar. Projek ini merangkumi penanaman sayur secara hidroponik, cili secara fertigasi, reban ayam automatik bertutup, pusat pembenihan ikan air tawar, serta ternakan lembu pedaging baka Charolais.
Bagi tahun 2025 hingga 2026, beberapa projek tambahan akan dilaksanakan seperti tanaman rumput Napier untuk makanan ternakan, tanaman buah Melon Madu Kelantan dan tanaman pisang sebagai sumber pertanian baharu.
Selain itu, KBCSB turut menyumbang dalam bidang bioteknologi pertanian dengan menghasilkan dan mempromosikan anak benih pisang berkualiti melalui teknik kultur tisu. Nurseri seluas 1 ekar di Machang mampu mengeluarkan sehingga 10,000 anak benih sebulan.
KBCSB juga membangunkan Green Valley Bio Park di Lojing seluas 50 ekar untuk pertanian tanah tinggi seperti tanaman tomato, sawi organik, lada benggala dan jagung manis. Di samping itu, Projek Kelantan Bio Valley seluas 150 ekar turut dirancang, merangkumi tanaman nanas, pisang, durian serta ternakan ikan dan lebah kelulut secara bersepadu.
Sementara itu, syarikat Darul Naim Agromanagement Industries Sdn. Bhd. (DAMAI) yang merupakan syarikat milik kerajaan negeri, telah memanfaatkan hampir 150 ekar tanah untuk tujuan pengeluaran makanan. Projek tanaman yang dilaksanakan oleh DAMAI meliputi tanaman jagung seluas 50 ekar di kawasan Kandis, Gaal; tanaman nenas seluas 24 ekar di Machang dan Selising; serta tanaman durian di kawasan Relai dan Seligi yang melibatkan keluasan 61 ekar. Selain itu, tanaman kelapa turut diusahakan di atas kawasan seluas lima ekar di Tembesu, Bachok, manakala tanaman ubi keledek diusahakan di kawasan seluas 10 ekar di Telong, Bachok.
Beliau menjelaskan demikian semasa menjawab persoalan YB Ku Mohd Zaki Ku Hussin daripada Dabong dengan soalan apakah prestasi Syarikat milik kerajaan negeri dalam menyumbang kepada hasil pertanian makanan dan berapakah keluasan tanah yang telah diusahakan.
![]() |
YB Ku Mohd Zaki Ku Hussin, Ahli Dewan Negeri (ADN) Dabong |
0 Comments