![]() |
YB Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan, Timbalan Menteri Besar Kelantan |
Oleh: Asri Hamat
Kota Darulnaim, 23 Julai – Kerajaan Negeri Kelantan telah melaksanakan beberapa dasar dan enakmen baharu sebagai langkah strategik untuk mengurangkan kebergantungan terhadap hasil tradisional seperti perhutanan, perlombongan dan premium tanah.
Timbalan Menteri Besar YB Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata antara pendekatan utama yang diambil oleh kerajaan negeri ialah pelaksanaan polisi moniteri melalui enakmen berkaitan sumber air dan hak akses sekuriti, yang telah mula menjana hasil pendapatan negeri.
“Contohnya, melalui Enakmen Hak Akses dan Penggunaan Tanah Infrastruktur Utiliti Negeri Kelantan, kutipan hasil bagi tempoh 2022 hingga Jun 2025 telah mencecah sebanyak RM12.1 juta.
"Ia melibatkan perkhidmatan seperti telekomunikasi, menara, audit menara, pembentungan, air dan elektrik."
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Negeri (ADN) Gual Periok YB Kamaruzaman Mohamad, dalam Persidangan Kali Yang Kedua bagi Tempoh Penggal Ketiga Dewan Negeri Kelantan Yang Kelima Belas 2025, hari ketiga, hari ini.
![]() |
YB Kamaruzaman Mohamad, Ahli Dewan Negeri (ADN) Gual Periok |
Tambahnya, Kerajaan Negeri Kelantan turut melaksanakan polisi bukan moniteri melalui penubuhan Jawatankuasa Kawal Selia untuk merancang dan menyelaras aktiviti projek pembangunan, yang telah berjaya menjana kutipan sebanyak RM52.4 juta dari tahun 2019 hingga 2024.
Selain itu jelas beliau, Kerajaan Negeri Kelantan turut mengambil inisiatif di bawah sektor pertanian melalui pewujudan Enakmen Pemajuan Pertanian Negeri 2022, yang kini berada di peringkat penyelarasan pelaksanaan dan dijangka menjadi sumber hasil baharu kepada negeri dalam tempoh akan datang.
“Kerajaan juga sedang meneroka pelbagai sumber hasil baharu seperti perlombongan unsur nadir bumi (REE), pembangunan tenaga boleh baharu, serta inisiatif penerokaan karbon dan hidrogen yang berpotensi menjana pendapatan baharu,” jelasnya.
0 Comments