Oleh : Asri Hamat
Kota Bharu, 4 Julai — Program pelancongan terbaharu menyusuri Sungai Kelantan (River Cruise) menggunakan perahu tradisional kolek bakal menjadi tarikan unik kepada pelancong tempatan dan luar negeri.
Exco Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, YB Datuk Kamarudin Md Nor berkata, inisiatif ini akan memperkenalkan pengalaman pelayaran santai sambil menikmati keindahan alam semula jadi serta warisan budaya di sepanjang Sungai Kelantan.
Menurut beliau, bot yang digunakan adalah bot kayu tradisional buatan tempatan yang mampu memuatkan sehingga 20 penumpang dengan selesa. Bot tersebut dilengkapi kemudahan tempat makan dan minum bagi keselesaan pengunjung sepanjang pelayaran selama dua jam.
“Pelayaran akan bermula dari Tambatan D’Raja ke Pulau Sri Tanjung dan Pulau Suri. Dalam perjalanan pulang, bot akan singgah di Laman Warisan Kampung Laut sebelum kembali ke Tambatan D’Raja,” katanya semasa sidang media sempena program menyelusuri sungai Kelantan bersama pemain industri Kelantan hari ini.
![]() |
YB Datuk Kamarudin Md Nor, Exco Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri Kelantan |
Tambah beliau, walaupun perjalanan menggunakan kolek lebih perlahan berbanding bot moden, namun ia dipilih berdasarkan nilai warisan dan identitinya sebagai perahu tradisional Kelantan.
“Perahu kolek adalah seni bina warisan kita yang masih wujud dan digunakan. Kita mahu kekalkan tradisi ini, seiring dengan penggunaan bot moden. Ini juga peluang untuk generasi baharu dan pelancong mengenali sejarah dan keunikan perahu ini,” ujarnya.
Beliau turut memaklumkan bahawa program ini dijangka dimulakan sama ada pada penghujung bulan Julai atau awal Ogos selepas beberapa penambahbaikan teknikal selesai dilaksanakan.
Mengulas mengenai harga tiket, YB Datuk Kamarudin berkata, kadar harga tiket masih dalam rundingan antara pengendali bot, agensi pelancongan dan pihak hotel. River cruise ini dirancang khas untuk pelancong yang membuat tempahan melalui agensi pelancongan atau hotel, dan tidak melibatkan pengunjung 'walk-in'.
“Ini bukan persaingan dengan pengendali bot penambang sedia ada, sebaliknya pelengkap kepada sektor pelancongan negeri. Malah, program ini akan memberikan manfaat ekonomi kepada pengusaha bot, agensi pelancongan, hotel dan peniaga di Pulau Suri, Pulau Sri Tanjung dan Kampung Laut,” jelas beliau.
Program ini akan menjadi antara komponen penting dalam kalendar pelancongan negeri Kelantan, melengkapi pelbagai aktiviti berunsur kebudayaan dan kesenian sedia ada.
0 Comments