Oleh: Asri Hamat
KOTA BHARU, 24 Julai – Pertubuhan Amal dan Kebajikan Isteri Wakil Rakyat Negeri Kelantan (PURNAMA) terus konsisten membantu meringankan beban pelajar asnaf dengan menganjurkan Program Dermasiswa setiap tahun sejak 2015.
Program tahunan tersebut memberi manfaat kepada pelajar sekolah kelolaan Yayasan Islam Kelantan (YIK) dengan harapan dapat menyokong keperluan pembelajaran dan mengurangkan beban kewangan keluarga.
Menteri Besar Kelantan YAB Dato' Panglima Perang Ustaz Dato' Mohd Nassuruddin Daud menzahirkan penghargaan kepada PURNAMA atas usaha konsisten membantu golongan yang memerlukan.
“Syabas dan tahniah kepada PURNAMA kerana terus komited dalam meringankan beban anak-anak asnaf. Para penerima pula perlulah bersyukur atas rezeki yang diterima dengan belajar bersungguh-sungguh serta menggunakan sumbangan ini untuk keperluan pembelajaran, bukan kepada perkara tidak penting,” ujarnya ketika merasmikan Program Dermasiswa PURNAMA 2025 di Dewan YIK, Tunjong hari ini.
Sementara itu, Datin Panglima Perang Datin Wan Nor Hanita Wan Yaacob berkata, pemberian dermasiswa berkenaan adalah manifestasi sokongan berterusan kepada anak-anak asnaf yang memerlukan perhatian dalam aspek pendidikan.
“Tahun demi tahun, PURNAMA berusaha menambah baik pelaksanaan program ini. Tahun ini, jumlah penerima telah ditingkatkan daripada lima kepada 10 orang bagi setiap Dewan Negeri (DUN), melibatkan pelajar dari sekolah-sekolah di bawah YIK,” jelasnya dalam ucapan alu-aluan.
Penambahan tersebut menyaksikan seramai 450 pelajar menerima dermasiswa tahun ini, berbanding hanya 225 orang pada tahun sebelumnya.
Setiap penerima diberikan bantuan sebanyak RM500 dengan agihan RM200 diserahkan terus kepada pelajar, manakala bakinya disalurkan kepada pihak sekolah untuk perbelanjaan berkaitan pembelajaran.
Bagi DUN yang mempunyai lebih daripada satu sekolah kelolaan YIK, pemberian akan dibuat secara bergilir-gilir agar semua mendapat manfaat secara adil.
“Gunakanlah wang sumbangan ini sebaik-baiknya, khasnya untuk pembelajaran. Ini kerana dana ini datang daripada wang zakat, kerajaan negeri, agensi-agensi kerajaan serta sumbangan individu dan warga PURNAMA,” tambah beliau.
Datin Wan Nor Hanita turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang memberi sokongan kepada PURNAMA dalam menjayakan program kebajikan ini.
“Semoga bantuan ini menjadi suntikan semangat kepada pelajar untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan,” katanya lagi.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Exco Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita YB Rohani Ibrahim, Ahli Dewan Negeri Limbongan Nor Asilah Mohamed Zin, Timbalan Yang Dipertua PURNAMA Datin Bahrulnurarifah Baharuddin, Penasihat PURNAMA Datin Bentara Kanan Datin Zabedah Abdul Hamid, Setiausaha PURNAMA Datin Norasyikin Ahmad serta ahli-ahli PURNAMA.
0 Comments