Uniteral Barat semakin runtuh


IPOH: Kebangkitan Iran dalam perang 12 hari dengan Israel dan Amerika Syarikat dianggap sebagai pembakar semangat dunia Islam bagi mempersiapkan diri menghadapi ancaman musuh dan kuasa besar dunia.

Pakar psikososio sebuah universiti awam Dr Zulkeflee Yaacob berkata, puluhan tahun stigma pahit, merobek dan kehinaan terhadap Muslim di seluruh dunia.

Katanya, umat Islam menjadi saksi bisu hanya melihat anak-anak Gaza terkubur di bawah puing batu dan besi ketika jet tempur canggih meraung di angkasa tidak tersentuh oleh keadilan.

“Kita melihat Iran diancam, disangsikan dan disisih dari aksi kegiatan diplomatik, sosialisasi dan ekonomi, malah dicap sifat buruk dan keji hanya atas keberanian mereka yang tidak tunduk kepada kelingking berkait.

“Dunia Islam membisu apabila rakyat Palestin dibasmi habis-habisan zionis Israel. Di sebalik kebisuan itu tampil satu suara keadilan yang bangkit membongkar muncung senjata dari keruntuhan total,” katanya di sini.

Menurutnya Iran bangkit dengan harga diri yang mahal sehingga tidak mampu dibayar musuh.

Kata beliau juga meskipun perang 12 hari dengan zionis Israel dan Amerika mengorbankan nyawa dan merosakkan fasiliti awam, namun Iran ternyata sukar digugat.



Malah Amerika-Israel seperti tidak mempercayai Iran sukar dimusnah dengan senjata canggih ciptaan Barat.

Katanya Amerika gagal memusnahkan fasilitas nuklear Iran yang sekadar berlaku kerosakan kecil seperti dilapor Washington Post dan Reuters.

“Iran bersiap bangkit dengan harga diri mempertahankan martabatnya ketika banyak negara Islam bungkam dan lebih parah lagi ada yang berdiri bersama pihak penindasan.

“Inilah wajah dunia yang merealisasikan betapa lunaknya rudal dan propaganda bahkan dunia lebih takut kepada kemerdekaan Islam daripada penjajahan yang realistik,” ujarnya.

Dr Zulkeflee juga berkata, Iran sedang bersiap siaga menghadapi perang jilid kedua dengan menambah stok rudal dan membeli jet tempur J10C.

Katanya ketika perang Iran-Zionis Israel dengan dibantu Amerika hanya sekadar menggunakan 5 peratus kekuatan.



Menurutnya juga sejarah mencatat bahawa Iran dalam kesenyapan yang panjang kini berdiri tegak dan tidak lagi bersembunyi di sebalik bayang-bayang.

“Iran bangkit di medan perang global bukan reaksi emosional tetapi langkah strategik yang penuh rencana ketika bertindak dan beraksi.

“Sebaliknya Amerika dan Israel semakin gelisah setelah gagal menawan Iran sehingga memperlihatkan uniteralisasi Barat menuju keruntuhan.

“Iran membawa mesej moral yang mendalam kerana Islam mengajar tauladan kehormatan yang layak diperjuangkan tentang nusa, nyawa, nasab dan tauhid,” katanya.

Post a Comment

0 Comments