![]() |
YB Zamakhshari Muhamad, Exco Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat Negeri Kelantan |
Oleh: Mohamad Farhan Fauzai
KOTA DARULNAIM, 24 Julai – Kerajaan Negeri Kelantan komited membangunkan ekosistem pembangunan bakat anak muda melalui latihan kepimpinan dan usahawan digital selaras dengan Dasar Anak Muda Kelantan (DAMAK).
Menurut Exco Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Rakyat YB Zamakhshari Muhamad, usaha tersebut dilaksanakan melalui Urus Setia Belia dan Sukan Negeri Kelantan (U-BeS) dengan pelbagai pendekatan strategik yang meliputi latihan kepimpinan, pembangunan keusahawanan serta penguasaan teknologi digital.
"Usaha ini dilaksanakan melalui U-BeS dengan pelbagai pendekatan strategik yang menjurus kepada latihan kepimpinan, pembangunan keusahawanan serta penguasaan teknologi digital," katanya ketika menjawab soalan Ahli Dewan Negeri (ADN) Semerak YB Norsham Sulaiman pada Persidangan Kali Kedua Bagi Tempoh Penggal Ketiga Dewan Negeri Kelantan Yang Kelimabelas Tahun 2025, pada Rabu.
Tambah beliau, kerajaan negeri telah mengenal pasti 19 kuasa penggerak di bawah Pelan Kelantan Futures State 2033, dengan salah satu fokus utamanya adalah pemerkasaan generasi muda yang bersedia menghadapi cabaran masa depan.
![]() |
YB Norsham Sulaiman, Ahli Dewan Negeri (ADN) Semerak |
"Kerajaan negeri telah melaksanakan beberapa program latihan kepimpinan bagi membentuk generasi pemimpin muda yang berpandukan syariat Islam melalui penubuhan Kelantan Future Leaders Institute (KFLI), yang merancang dan melaksanakan program kepimpinan secara bersasar dan berstrategik," katanya.
Beliau menjelaskan bahawa antara program yang dilaksanakan termasuk Kelantan Future Leader Camp, Bootcamp, dan Academy, yang memberi latihan intensif kepada pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) serta mahasiswa untuk membina nilai-nilai rabbani, kefahaman tanggungjawab sosial dan kenegaraan.
Setakat ini, seramai 150 peserta telah menyertai Kelantan Future Leaders Camp manakala 139 peserta mengikuti Bootcamp.
Selain pembangunan kepimpinan, kerajaan negeri turut menumpukan kepada aspek pembangunan keusahawanan selaras dengan aspirasi menjadikan belia sebagai pemangkin ekonomi negeri.
Antara inisiatif yang sedang dan akan dilaksanakan termasuk program Kelantan Start-Up (K-Start), yang bertujuan menggalakkan keusahawanan dalam kalangan belia negeri ini.
"Pada masa yang sama, kerajaan negeri melalui U-BeS, Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) dan Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) turut menganjurkan pelbagai kursus keusahawanan untuk anak muda.
"Antaranya termasuk kursus asas digital, kemahiran gunting rambut lelaki dan wanita, bekam, perbidanan, bakeri serta kulinari," ujarnya.
Tambah beliau, program Kelantan Youth Digitalpreneur pula memfokuskan kepada pembangunan bakat dan potensi anak muda dalam bidang keusahawanan digital melalui pendekatan bimbingan.
Ia bertujuan membolehkan belia memanfaatkan platform digital dan teknologi e-dagang bagi menjana pendapatan secara mampan dan berdaya saing.
0 Comments