A RAHMAN HARUN
KOTA BHARU: Kejayaan Kedah melaksanakan Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) sejak 1 September 2015 turut menarik perhatian kerajaan Kelantan.
Pelaksanaan Akta 672 bertujuan untuk meningkatkan keberkesanan pengurusan sisa pepejal dan kebersihan awam.
Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar, Hilmi Abdullah berkata, Kelantan bercadang mengadakan lawatan kerja ke Kedah untuk menimba pengalaman mengenai pelaksanaan Akta 672.
Katanya, negeri Kedah boleh dijadikan sebagai panduan dalam usaha untuk meningkatkan pengurusan sisa pepejal di Kelantan.
"Cadangan lawatan penanda aras ke Bahagian Perancang Ekonomi Kedah untuk kajian Akta 672 yang dilaksanakan di negeri itu," katanya di sini semalam.
Sebelum itu beliau mempengerusi Mesyuarat Jawatankuasa Kecil Kerajaan Tempatan di Bilik Gerakan Negeri. Turut hadir Timbalan Exco, Dato' Abdul Rahman Yunus.
Hadir sama Yang Dipertua dan Setiausaha Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Kelantan, ketua-ketua jabatan negeri dan Persekutuan.
Pada mesyuarat tersebut Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) membentang cadangan pelaksanaan Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) kepada peniaga dan penjaja berlesen di kawasan PBT.
Selain itu pembentangan cadangan pendigital dokumentasi dan transaksi di PBT.
Sebelum ini media melaporkan Kelantan secara dasar setuju membuka semula pintu rundingan dengan Persekutuan bagi melaksanakan Akta 672.
0 Comments