Kadar Pemberian Ikut Kepala dinaikkan mulai tahun depan - YAB Menteri Besar

YAB Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud,
Menteri Besar Kelantan

Oleh: Asri Hamat

KOTA DARULNAIM, 22 Julai- Kadar Pemberian Ikut Kepala berdasarkan Bahagian 1 Jadual Kesepuluh perkara 109 (1)(a) Perlembagaan Persekutuan kepada Negeri Kelantan yang dikuatkuasa melalui undang-undang Malaysia Perlembagaan Persekutuan akan dinaikkan pada tahun 2026, kata Menteri Besar, YAB Dato' Panglima Perang, Ustaz Dato' Mohd Nassuruddin Daud.

Katanya, kadar ini tidak disemak sejak daripada tahun 2002 lagi. Dalam mesyuarat menteri-menteri besar dan Ketua-ketua Menteri pada tahun lepas, beliau yang mewakili negeri Kelantan telah mengemukakan usul supaya geran perkapita dikaji semula, memandangkan kadar semasa yang diguna pakai adalah yang berkuatkuasa mulai 1 Januari 2002.

"Alhamdulillah, usul saya dipersetujui oleh semua Menteri Besar dan mendapat respon yang agak positif YAB Perdana Menteri. YAB Perdana Menteri menyatakan beliau sedar bahawa kadar tersebut adalah kadar lama yang sepatutnya dikaji, tetapi kerajaan juga mempunyai kekangan kewangan. Namun YAB Perdana Menteri menyatakan kesediaan untuk mengkaji semula kadar tersebut dan dinaikkan mengikut kadar kemampuan kerajaan persekutuan."

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Kelantan (ADN) Melor, YB Wan Rohimi Wan Daud, di Persidangan Kali Yang kedua Bagi Tempoh Penggal Ketiga Dewan Negeri Kelantan Yang Kelima Belas Tahun 2025, hari kedua hari ini.

Kata YAB Menteri Besar lagi, dalam Mesyuarat Majlis Kewangan Negara 2025, yang dipengerusikan oleh YAB Perdana Menteri, beliau telah bersetuju untuk menaikkan Kadar Pemberian Mengikut Kepala dengan kenaikan secara purata iaitu 24.9 peratus yang akan dibayar pada tahun 2026 kepada semua negeri.

"Kadar baharu yang telah dipersetujui dalam mesyuarat kewangan negara adalah untuk 100,000 orang pertama dinaikkan daripada RM72 kepada RM102 setiap orang. Bagi 500,000 orang berikutnya dinaikkan daripada RM10.20 kepada RM14 setiap orang. 500,000 orang berikutnya dinaikkan daripada RM10.80 kepada RM13.50 setiap orang. Bilangan orang selebihnya dinaikkan daripada RM11. 40 kepada RM13 setiap orang," katanya.

Jelas beliau lagi, Kerajaan Negeri Kelantan telah menerima pemberian mengikut bilangan orang dari tahun 2015 hinggan 2025 berjumlah rm291.6 juta.

"Pada tahun 2015 sebanyak RM 24.75 juta , tahun 2016 sebanyak RM25.06 juta, tahun 2017 sebanyak RM25.37 juta, tahun 2018 sebanyak RM25.69 juta, tahun 2019 sebanyak RM26.03 juta, tahun 2020 sebanyak RM26.38 juta, tahun 2021 sebanyak RM26.75 juta, tahun 2022 sebanyak RM27.14 juta, tahun 2023 sebanyak RM27.54 juta, tahun 2024 sebanyak RM27.96 juta dan tahun 2025 sebanyak RM28.9 juta," jelas beliau.

Untuk rekod, kadar tersebut bagi 100,000 orang pertama, kadar ditetapkan pada RM72.00 seorang; bagi 500,000 orang berikutnya, RM10.20 seorang; bagi 500,000 orang seterusnya, RM10.80 seorang; manakala bagi selebihnya, kadar adalah RM11.40 seorang.

Post a Comment

0 Comments