![]() |
YAB Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud, Menteri Besar Kelantan |
Oleh: Asri Hamat
KOTA BHARU, 28 Julai – Sambutan Hari Hududullah yang diadakan setiap tahun membuktikan kesungguhan Kerajaan Negeri Kelantan dalam memartabatkan syariat Islam sebagai asas kepada pentadbiran negeri.
Menteri Besar Kelantan, YAB Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud berkata, program yang diadakan saban tahun itu sentiasa menampilkan pendekatan yang segar dan relevan mengikut perkembangan semasa negara.
“Program ini bukan sahaja memperkukuh pemahaman masyarakat terhadap keindahan dan keadilan undang-undang Islam, tetapi juga menjadi medan penting untuk mengajak rakyat lebih cakna terhadap pelaksanaan syariah di Negeri Kelantan.
"Program ini juga menjadi sebuah medan yang sangat bermakna untuk memperkukuhkan pemahaman masyarakat terhadap keindahan dan keadilan undang-undang Islam."
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan sambutan Hari Hududullah 1447H peringkat Negeri Kelantan di Dewan Utama Tengku Kaya Pahlawan, Panji Kota Bharu pada Khamis.
Program sambutan hari Hududullah juga merupakan suatu bentuk penegasan bahawa kerajaan negeri menolak dan sesekali tidak mengiktiraf segala bentuk budaya dan amalan yang bercanggah dengan tuntutan syariah Islam, sambil mendidik masyarakat agar kembali kepada fitrah dan menjunjung tinggi hukum-hukum Allah sebagai asas kesejahteraan hidup di dunia dan akhirat.
Katanya lagi, Sejak tahun 1990, dasar Membangun Bersama Islam (MBI) terus menjadi tunjang sebagai dasar pentadbiran Kerajaan Negeri Kelantan sehingga ke hari ini yang dipacu dengan strategi Penghayatan Membangun Bersama ISLAM (PMBI) berteraskan kepada tiga prinsip utama iaitu Ubudiyyah, Mas'uliyah dan Itqan (UMI).
Selain itu, Kerajaan Negeri Kelantan juga memperkenalkan pelbagai dasar sokongan untuk menjadikan Kelantan sebagai sebuah negeri yang aman, makmur dan harmoni.
"Antaranya dasar pencegahan gejala sosial yang bertujuan untuk mengawal, memandu arah, mendidik, mencegah dan merawat penularan gejala-gejala sosial yang boleh membawa kepada kemungkaran dan kemaksiatan serta mengundang kemurkaan Allah SWT," ujarnya.
Tambah beliau lagi, kerajaan negeri juga terus berusaha untuk melaksanakan undang-undang Islam yang merupakan sebahagian syariat Islam yang syumul melalui undang-undang yang dikehendaki oleh Allah SWT sebagaimana yang termaktub dalam al-Quran dan as-Sunnah.
"Undang-Undang ini diperjuangkan dan ditegakkan oleh Kerajaan Negeri Kelantan secara konsisten kerana ia menjamin keadilan, ketenteraman dan keselamatan umat manusia yang sebenar-benarnya.
"Ia merangkumi akidah (kepercayaan), syariat (perundangan), akhlak dan seluruh aspek kehidupan manusia yang diturunkan oleh Allah SWT sebagai panduan hidup yang sempurna.
"Hasilnya masyarakat dapat mengecapi kehidupan yang lebih aman, bahagia dan sejahtera," ujarnya.
Dalam program tersebut turut diadakan seminar khas al-Uqubah fi as-Asyariati Islamiyyah "Rotan dan Restoratif" mendidik atau menzalimi yang menampilkan Pensyarah Kuliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Prof Madya Dato' Dr Shamrahayu Abdul Aziz, Dr Hajah Hanan dari Brunei Darussalam dan YB Nik Bahrum bertindak sebagai moderator.
Hadir sama, Speaker Dewan Negeri Kelantan, YB Dato' Sri Amar D'Raja, Dato' Dr Mohd Amar Abdullah, mantan Menteri Besar, YB Dato' Bentara Kanan, Ustaz Dato' Ahmad Yakob, Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta, YB Mohd Asri Mat Daud.
0 Comments