![]() |
YB Mohd Asri Mat Daud, Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta Negeri Kelantan |
Oleh: Asri Hamat
KOTA BHARU, 8 Julai – Kerajaan Negeri Kelantan terus menunjukkan komitmen tinggi dalam memperkukuh keharmonian antara kaum menerusi pelbagai inisiatif kebajikan dan program integrasi masyarakat sejak lebih tiga dekad lalu.
Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta, YB Mohd Asri Mat Daud berkata, agenda mempertautkan hubungan antara kaum telah menjadi keutamaan negeri itu sejak tahun 1990 lagi, selaras dengan dasar kepimpinan negeri yang mengutamakan kesejahteraan rakyat tanpa mengira bangsa dan agama.
“Selain mewujudkan Pusat Integrasi Antara Kaum (PEKA), kerajaan negeri turut melaksanakan pelbagai program kebajikan seperti kifalah, az-ziwaaj dan lain-lain untuk memberi manfaat kepada seluruh rakyat, tanpa mengira latar belakang,” katanya ketika memberi ucapan aluan dalam Majlis Mesra Kaum 2025 di Dewan Perniagaan Cina, Kota Bharu, pada Isnin.
Tambah beliau, usaha memperkukuh perpaduan turut diterapkan di peringkat pendidikan apabila Kolej Universiti Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) yang dahulunya dikenali sebagai Maahad Dakwah wal Imamah yang mewajibkan pelajarnya mengikuti kelas bahasa Cina selama tiga jam dalam seminggu.
“Inisiatif ini bertujuan meningkatkan interaksi dan kefahaman antara kaum, sekali gus mengeratkan hubungan dan menghapuskan jurang perbezaan yang ada,” katanya.
![]() |
Lim Guang Seng, Pengerusi PEKA |
Sementara itu, Pengerusi PEKA, Lim Guang Seng menyifatkan penganjuran Program Mesra Kaum 2025 membuktikan komitmen Kerajaan Negeri Kelantan dalam memperkukuh keharmonian serta perpaduan antara kaum dan agama di negeri ini.
Katanya, program seumpama ini mencerminkan semangat keterbukaan yang telah lama menjadi asas keharmonian dalam kalangan masyarakat majmuk di Kelantan.
“Di negeri Kelantan yang kita cintai ini, kita hidup bersama dalam suasana masyarakat pelbagai budaya, kepercayaan dan warisan. Maka, menjadi tanggungjawab bersama untuk memelihara keharmonian ini. Ia bukan terletak di bahu satu pihak sahaja,” katanya ketika berucap mewakili kaum dalam majlis tersebut.
Beliau turut menegaskan bahawa penganjuran program seperti ini mampu memperkukuh komunikasi antara pemimpin, agensi agama dan masyarakat umum, sekali gus dapat mengelakkan salah faham serta prasangka yang boleh mencetuskan ketegangan.
“Semangat muhibah dan kasih sayang harus terus disemai demi memastikan keamanan dan kestabilan negeri terus berkekalan,” tambahnya lagi.
Program anjuran Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEAIK) dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) itu turut dihadiri oleh wakil-wakil pemimpin masyarakat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta pelbagai kaum dan agama yang tinggal di Kelantan, menandakan iltizam bersama ke arah perpaduan sejati.
0 Comments