Oleh: Asri Hamat
KOTA BHARU, 5 Ogos – Seramai 68 Pembantu Pegawai Halaqat menerima Sijil Pengajian Tafaqquh Fiddin Siri Ketiga dalam satu majlis yang berlangsung di sebuah hotel di sini, pada Isnin.
Majlis penyampaian sijil tersebut telah disempurnakan oleh Menteri Besar YAB Dato' Panglima Perang Ustaz Dato' Mohd Nassuruddin Daud.
Dalam ucapannya, beliau merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada para graduan yang telah menunjukkan komitmen tinggi dalam mengikuti pengajian yang bermula sejak Julai 2024 hingga Mac 2025.
"Syabas dan tahniah saya ucapkan kepada semua graduan yang memberi komitmen dan iltizam yang luar biasa untuk menambah ilmu pengetahuan serta kemahiran mengajar," katanya.
![]() |
YAB Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud, Menteri Besar Kelantan |
Menurut beliau, kejayaan tersebut akan menjadi pendorong kepada warga Halaqat lain untuk turut serta dalam program seumpama ini demi mempertingkatkan kualiti penyampaian ilmu kepada masyarakat, terutamanya di kampung-kampung.
"Ia sekali gus dapat memastikan masyarakat yang menjadi pendengar setia kepada kelas-kelas pengajian terus menerima manfaat daripada peningkatan kualiti pengajaran yang berlaku dari semasa ke semasa," tambahnya.
Menteri Besar turut menjelaskan bahawa sukatan pelajaran dalam program Tafaqquh Fiddin disusun rapi bagi memenuhi keperluan semasa masyarakat, merangkumi ilmu asas seperti ilmu al-Quran, hadith, akidah, fiqh dan akhlak, selain turut memberi penekanan terhadap ilmu semasa dan teknik pengajaran berkesan.
"Sukatan ini merupakan thaqafah addaiyyah yang amat diperlukan. Para asatizah hendaklah melengkapkan diri dengan ilmu yang menyeluruh bagi memastikan penyampaian dakwah lebih berkesan," katanya lagi.
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan bahawa tugas menyampaikan kebenaran dan memberi peringatan tidak boleh dipisahkan dalam usaha dakwah.
"Kedua-duanya adalah amanah besar yang telah dipikul oleh para Rasul dan kini disambung oleh para ulamak sebagai pewaris mereka sehingga hari kiamat," tegas beliau.
Tambahnya, dalam era teknologi dan maklumat yang pantas ini, para pendakwah perlu segera memahami realiti ummah dan cabaran semasa agar dapat menangani pelbagai isu serta menangkis unsur-unsur negatif yang boleh merosakkan masyarakat.
Dalam majlis penyampaian sijil tersebut, Pembantu Pegawai Halaqat Dewan Negeri (DUN) Pasir Tumboh, Ruhamaa Salleh dianugerahkan graduan terbaik yang menerima Sijil Anugerah Murabbi.
Untuk rekod, program Pengajian Tafaqquh Fiddin dijalankan secara kerjasama antara Kolej Universiti Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS), Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEAIK), Intitut Pemikiran Tok Guru Bentara Setia (IPTG), Yayasan Amanah Tok Kenali (YTK) dan diselaraskan oleh KIAS Insani Sdn Bhd (KISB) iaitu anak syarikat KIAS Darulnaim Sdn Bhd. (KDSB).
0 Comments