Oleh: Asri Hamat
Kredit foto: Unit Media Menteri Besar
Kredit foto: Unit Media Menteri Besar
KOTA DARULNAIM, 5 Ogos – Menteri Besar Kelantan YAB Dato' Panglima Perang Ustaz Dato' Mohd Nassuruddin Daud menegaskan bahawa aset strategik milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) adalah tunjang utama dalam mempertahan keselamatan dan kedaulatan perairan negara.
Beliau berkata, kelengkapan seperti kapal peronda, bot berkelajuan tinggi dan peralatan pengawasan moden sangat penting bagi memastikan rondaan, penguatkuasaan undang-undang maritim, serta operasi mencari dan menyelamat dapat dilaksanakan dengan berkesan.
“Tanpa aset yang mencukupi, APMM akan menghadapi kesukaran dalam menjalankan tanggungjawab mereka, lebih-lebih lagi dalam menangani cabaran keselamatan maritim di sempadan perairan negara,” katanya menerusi satu hantaran media rasmi selepas mengadakan lawatan ke Pangkalan Maritim Negeri Kelantan di Tok Bali, hari ini.
Dalam lawatan tersebut, Menteri Besar turut berpeluang memandu uji Rigid Hull Fender Boat (RHFB) Kelas Perkasa yang dilengkapi dua enjin 350 kuasa kuda, dengan keupayaan mencapai kelajuan sehingga 48 knot. Bot tersebit ialah antara aset tercanggih dalam operasi maritim negara.
Beliau juga menyatakan keyakinan terhadap kecekapan dan tahap kesiapsiagaan anggota APMM dalam mempertahan perairan Kelantan yang berkeluasan lebih 20,000 kilometer persegi, terdedah kepada pelbagai risiko termasuk pencerobohan, penyeludupan dan jenayah rentas sempadan.
“Saya yakin dan optimis, anggota APMM sentiasa berada dalam keadaan siap siaga untuk memastikan perairan Kelantan selamat dan terkawal,” ujarnya.
Beliau bersama Pengarah Maritim Negeri Kelantan Kepten Maritim Erwan Shah Soahdi turut meninjau kawasan perairan sempadan negeri dan menekankan keperluan pengawasan yang teliti, berdisiplin dan berterusan.
“Kawasan perairan yang luas ini menuntut komitmen tinggi serta ketegasan dalam operasi agar tidak menjadi laluan mudah kepada pencerobohan asing dan ancaman keselamatan maritim,” tegasnya.
0 Comments