KUALA LUMPUR: Ketua Pembangkang memberitahu hari ini pun beliau sedia berjumpa dengan Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim bagi menyelesaikan isu peruntukan kepada pembangkang.
Dato’ Seri Hamzah Zainuddin berkata, kalau perdana menteri sedia berjumpa pada hari ini pun beliau tidak ada masalah.
Bagaimanapun Anwar memberitahu kalau berkaitan peruntukan kepada pembangkang beliau sudah memberi mandat kepada Timbalan Perdana Menteri (TPM) II, Dato’ Seri Fadilah Yusof.
“Kita sudah tetapkan berkaitan peruntukan kepada pembangkang di bawah TPM II, namun kalau hendak jumpa saya berkaitan isu lain saya bersedia,” kata Anwar pada sesi jawapan menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Menurut perdana menteri juga kesepakatan ahli-ahli parlimen pembangkang perlu diadakan terlebih dahulu kerana ada yang setuju berunding.
Sebelum itu Dato’ Seri Dr Shahidan Kassim (PN-Arau) merakam ucapan tahniah kepada perdana menteri kerana berjaya mendamaikan konflik antara Thailand-Kemboja, dan berharap isu berkaitan peruntukan pembangkang juga perlu diselesaikan.
Sejak hampir tiga tahun lalu kerajaan Madani menjanjikan untuk mengagihkan peruntukan kepada pembangkang, namun ia tidak menjadi kenyataan sehingga sekarang.
Biar pun perundingan sudah banyak kali diadakan, namun janji kerajaan Madani mengagihkan peruntukan kepada semua ahli parlimen hanya tinggal janji.
Baru-baru ini Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dilapor memaklumkan kawasan Parlimennya menerima peruntukan RM200,000 selepas lebih 500 hari berunding.
Bagaimanapun katanya, peruntukan itu disertakan dengan syarat yang ketat dan hanya terhad tujuan pentadbiran termasuk bayaran sewa pejabat, gaji staf, peralatan serta pengurusan pejabat sahaja.
0 Comments