SALMAH MAT HUSAIN
KOTA BHARU: Kelantan Red Warrior (KRW) FC berusaha bangkit semula selepas berdepan dengan kemelut dalaman di bawah kepimpinan lama.
KRW FC sekarang dipimpin bekas Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun yang dilantik sebagai presiden yang baharu.
Muhamad Zaki berkata, beliau terpanggil untuk menyahut cabaran memimpin KRW walaupun tidak mempunyai latar belakang dalam bidang bola sepak.
“Alhamdulillah saya bersyukur kerana diberi kepercayaan oleh pihak KRW untuk menggalas pasukan ini sebagai presiden.
“Walaupun saya secara langsung tidak pernah terlibat dengan persatuan bola sepak, namun saya percaya dengan semangat, usaha dan kesungguhan bersama, kita mampu mencapai sesuatu yang besar,” katanya pada sidang media petang semalam.
Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif KRW, Wan Mohd Fajarulekram Wan Mokhtar yang juga penaja utama pasukan tersebut.
Turut hadir pengurusan kelab, Ketua Jurulatih, Irfan Bakti Abu Salim serta penaja, Datuk Amar Amran.
Muhamad Zaki berkata, disiplin, integriti, kerjasama serta semangat berpasukan merupakan kunci utama membina semula kekuatan KRW.
“Saya juga bersedia untuk menerima kritikan membina bagi memajukan lagi pasukan ini dan bola sepak negara,” katanya.
Pelantikan terbabit bagi mengisi kekosongan kerusi presiden selepas Nik Hafiz Naim Nik Hassan mengumumkan peletakan jawatan pada 2 Ogos lalu.
Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) sebelum ini mengklasifikasikan KRW sebagai warisan sukan kepada Kelantan FC dan mengenakan larangan pendaftaran pemain sehingga 14 Ogos.
Susulan itu pemilikan KRW dipindahkan kepada syarikat kopi tempatan, Nasken Coffee bagi memberi nafas baharu kepada pasukan berkenaan.
0 Comments