KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Tapah Datuk Seri M Saravanan mendakwa Pelan Tindakan Masyarakat India (MIB) yang diperkenalkan kerajaan Barisan Nasional (BN) diketepikan kerajaan Pakatan Harapan (PH).
Sedangkan katanya, MIB bertujuan memastikan kesejahteraan kaum India khususnya golongan berpendapatan rendah (B40) di negara ini.
MIB dilancarkan bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada April 2017 untuk pembangunan kaum India bagi tempoh 10 tahun.
Sebanyak RM500 juta diperuntukkan bagi skim dana saham di bawah Permodalan Nasional Berhad (PNB) khusus untuk memupuk tabiat menabung kaum India dalam kalangan golongan B40.
“Begitu juga ekuiti masyarakat India disasarkan sebelum ini sebanyak 3 peratus berbanding 1.15 peratus ketika ini.
“Namun selepas 2018 program itu tidak diiteruskan bagi meningkatkan ekuiti masyarakat India,” katanya pada sesi jawapan menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Sebelum ini bekas Naib Presiden MIC, Datuk Sivarraajh Chandran dilapor berkata, masyarakat India seolah-olah dianaktirikan biarpun 75 peratus pengundi India menyokong PH pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).
Menurutnya, Belanjawan 2020 menyediakan tiga peruntukan utama kepada masyarakat itu termasuk RM20 Juta melalui Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun Nasional) untuk membangunkan usahawan India.
Kata beliau jumlah itu amat rendah berbanding Belanjawan 2017 menyalurkan sebanyak RM200 juta iaitu RM50 juta melalui Tekun Nasional dan RM150 juta untuk AIM (Amanah Ikhtiar Malaysia).
Ahli parlimen Klang V Ganabatirau pula mendedahkan bantuan komputer riba ‘second hand’ kepada pelajar masyarakat India sebahagian besar tidak boleh digunakan.
Sebelum ini kerajaan menyalur bantuan komputer riba refurbished di bawah Unit Transformasi India Malaysia (Mitra) bernilai RM3.26 juta.
Menurut laporan media sebanyak RM3 juta diperuntukan untuk pembelian 6,000 komputer riba refurbished dan RM263,500 kos penghantaran ke 527 sekolah Tamil di seluruh negara.
Bagaimanapun ibu bapa dan guru dilapor mendakwa peranti itu terpaksa dihantar semula untuk dibaiki hanya beberapa minggu selepas diterima.
Menjawab soalan tersebut Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan memperuntukkan keseluruhan hampir RM1 bilion untuk masyarakat India tahun lepas.
Katanya, bukan sahaja sekolah Tamil yang menghadpi masalah komputer, malah ia juga berlaku di Saban dan Sarawak.
0 Comments