Oleh DR ZULKEFLEE YAACOB
PERDANA Menteri (PM) ke-10 Dato’ Seri Anwar Ibrahim menghadapi desakan massa agar membuat perhitungan sama ada membubarkan parlimen atau turun tampuk atas dakwaan hilang kendali mentadbir negara.
Puluhan ribu rakyat berdemontrasi di Kuala Lumpur pada 26 Julai lepas menuntut beliau turun jawatan kerana pelbagai cukai dikenakan, subsidi dipotong, harga barang melambung tinggi dan rakyat menilai janji reformasi hanya sekadar ilusi politik.
Rakyat mempersoalkan Malaysia membeli 50 pesawat Airbus pada Mac lalu ketika lawatan PM ke Perancis.
Kini didesak membeli tambahan kapal terbang buatan Boeing yang sebelumnya telah menandatangani tempahan 30 pesawat Boeing 737 terdiri daripada 18 unit model 737-8 dan 12 unit 737-10s.
Pesawat dijangka diserahkan secara berperingkat menjelang 2030 melalui Malaysia Aviation Group (MAG).
Mungkinkah timbal balas pembelian tambahan 30 pesawat Boeing berjumlah AS$9.5 bilion untuk mengurangkan tarif Amerika Syarikat.
Sedangkan ia diangap tidak memberi pulangan setimpal dan membazir wang rakyat.
Krisis kepercayaan massa terhadap PM termasuk isu kehakiman apabila pelantikan hakim tinggi ditunda sebelum ini tanpa alasan konstruktif.
Dan kasus korupsi elit pemerintah dicabut, kemudian diberi jawatan tinggi kerajaan biar pun berdepan dengan kes prima facie dengan 47 pertuduhan membabitkan dana Yayasan Akalbudi.
Tun cabar
Berdasar rentetan pelbagai masalah itu Tun Dr Mahathir Mohamad mencabar PM membubarkan Parlimen sekali gus membolehkan pilihan raya umum (PRU) dilaksana bagi membolehkan pemerintahan lebih idealistik menerajui negara.
Asas cabaran itu kerana Anwar bukan pilihan rakyat dilantik sebagai Perdana Menteri kecuali berselindung di sebalik angka politik semata-mata.
Tindakan membubarkan Parlimen dianggap lebih legislatif biarpun ada cabaran wakil kerajaan supaya pembangkang mengemukakan usul tidak percaya untuk dibahaskan di Dewan Rakyat.
Ketakutan kerajaan dapat dilihat apabila penyokong Umno yang hadir perhimpunan mega 26 Julai lalu diberi amaran dan ugutan gugur status keahlian.
Kini kumpulan sosialis dan liberalis tampil di restrum podium di PWTC biarpun mereka sebelum ini begitu lantang mengkritik Umno.
Pasca-DAP berkuasa dalam kerajaan Madani memperlihatkan Dewan Merdeka yang menjadi lokasi himpunan keramat orang Melayu ditembusi pemimpin DAP.
Veteran DAP Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng antara pemimpin DAP yang hadir di Konvensyen Nasional Perpaduan. Sedangkan sebelum ini DAP menjadi sasaran politik pemimpin Umno.
Kemelut kerajaan Madani tambah kecamuk Datuk Seri Rafizi Ramli disingkirkan daripada jawatan Timbalan Presiden PKR sehingga mengundang beliau berundur daripada kabinet.
Bekas menteri Datuk Zaid Ibrahim pula mendakwa parti yang mendukung kerajaan Madani yang menjaja naratif 1MDB sehingga Dato’ Seri Najib Razak dihumbang ke penjara.
Kerajaan Madani juga tenggelam dengan emosi apabila perdana menteri membuat tuduhan melulu terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin berkaitan subsidi petrol terhadap warga asing.
Biar pun dinafi keras Muhyiddin, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) pula diminta menyiasat terhadap penafian tersebut. Siapa sebenarnya MCMC mahu siasat.
Apakah kenyataan yang dikatakan berunsur fitnah dilontar di Parlimen kerana mempunyai kekebalan undang-undang.
Sedangkan sejarah tamadun manusia menjelaskan sistem percukaian menindas rakyat mendorong ke arah jatuhnya sesebuah kerajaan.
Begitu juga sistem hukum yang keras terhadap rakyat mengundang kebencian masyarakat. Hadis riwayat Bukhari dan Muslim menjelaskan petinggi mencuri dibiarkan tetapi orang lemah pula dihukum keras.
Hadis Nabi Muhammad SAW yang diriwayat Bukhari pula menjelaskan jawatan yang diberi kepada orang meminta, sedangkan dia tidak layak maka tunggulah saat kehancuran.
Begitu juga ketimpangan sosial apabila harta negara berligar dalam kalangan elit ketika rakyat miskin merintih untuk meneruskan kelangsungan hidup.
0 Comments