![]() |
Exco Pertanian, Industri Agro Makanan dan Komoditi YB Dato' Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail |
Oleh : Asri Hamat
KOTA BHARU, 8 Ogos – Kelantan menjadi negeri pertama di Malaysia yang memperkenalkan program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Pertanian khusus untuk institusi pondok dan tahfiz, kata Exco Pertanian, Industri Agro Makanan dan Komoditi YB Dato' Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail.
Katanya, program tersebut diterajui oleh Kumpulan Pertanian Kelantan Berhad (KPKB), anak syarikat Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) dengan kerjasama kerajaan negeri.
"Program TVET Pertanian ini diwujudkan bagi memperkasa ekonomi institusi pondok dan tahfiz melalui aktiviti pertanian dan penternakan, di samping memberi peluang kepada pelajar untuk mendapatkan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM).
"Pengoperasian TVET Pertanian ini bukan sahaja mampu menambah pendapatan institusi, malah menjamin kelangsungan ekonomi jangka panjang mereka."
Beliau berkata demikian ketika memberi ucapan aluan di majlis Pelancaran Majlis TVET Negeri Kelantan di dewan Kelantan Trade Center (KTC), di sini pada Khamis.
Menurut beliau lagi, TVET pertanian pondok dan tahfiz dilaksanakan menerusi Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) di bawah Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), Kementerian Sumber Manusia.
"Program tersebut bermula pada 1 Julai 2024 hingga April 2025 dan melibatkan 103 orang perantis dengan peruntukan kewangan sebanyak RM1.2 juta.
Antara lokasi pelaksanaan program TVET pertanian adalah Huffaz Agro Farm, SMITI Tok Guru, Pasir Puteh, Pondok Al-Fununiah Al-Ghazaliah (Pondok Tunjung), Kota Bharu, Maahad Tahfiz Daril Ulum, Meranti, Pasir Mas dan Yayasan Kebajikan Anak-anak Yatim Kelantan (YAATIM), Tanjong Chat, Kota Bharu bagi SKM Tahap 3: Operasi Pengeluaran Tanaman (A016-001-3:2016).
Manakala Pondok Dakwah Islamiah Sri Permai (Pondok Seligi), Pasir Puteh pula melibatkan SKM Tahap 3: Pengeluaran Tanaman Cendawan (Tanah Rendah) AF-013-3:2012," ujarnya.
Mengulas lanjut, Dato' Tuan Mohd Saripudin menyatakan bahawa lebih membanggakan lagi, usaha tersebut telah mendapat pengiktirafan di peringkat kebangsaan apabila KPKB dianugerahkan Best State Enterprise For Youth Empowerment (Agriculture Sector) di Malaysia Education and TVET Awards 2023 yang berlangsung di Mandarin Oriental, Kuala Lumpur pada 21 September 2023.
Anugerah tersebut disampaikan oleh Timbalan Menteri Sumber Manusia YB Mustapha Sakmud.
"Pengiktirafan ini sekaligus mengiktiraf kejayaan program TVET Pertanian GEPA Gerakan Pertanian al-Falah (GEPA) dalam membuka peluang kepada pelajar-pelajar tahfiz dan pondok untuk menceburi sektor pertanian serta menyumbang tenaga kerja mahir kepada industri negara," jelasnya.
Tambahnya, pengenalan TVET Pertanian juga selaras dengan saranan Menteri Ekonomi agar Negeri Kelantan dijadikan sebagai Negeri Pusat Bakul Makanan Negara dalam Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13).
"Inisiatif ini dilihat sebagai pemangkin kepada pelaburan, sekaligus meningkatkan jaminan sekuriti makanan negara.
"Perkembangan ekonomi berasaskan Pertanian pada masa hadapan adalah satu kemestian buat Negara Malaysia dan Negeri Kelantan seharusnya menjadi tulang belakang ke arah itu dengan menjadikan Kelantan sebagai Jelapang Makanan Negara serta Hab Halal Utama Negara," ujarnya.
0 Comments