KOTA BHARU: Sebelum ini kerajaan Pusat menguar-uarkan elaun bulanan ahli Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) atau ketua kampung di Selangor paling tinggi di Malaysia.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilapor berkata, elaun JPKK di Selangor tertinggi iaitu RM1,500 dan diikuti Johor RM1,200.
Bagaimanapun pada 21 Mac 2023 kerajaan Kelantan mengumumkan elaun penghulu dinaikkan daripada RM1,100 kepada RM1,500 sebulan.
JPKK diurus di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah, manakala penghulu di Kelantan di bawah kerajaan negeri.
Institusi penghulu diperkasakan ketika era kerajaan Perikatan Nasional (PN) menerajui Putrajaya dengan menubuhkan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK).
MPKK pada peringkat awal ditubuhkan kerajaan Pakatan Harapan pada Oktober 2018. Dan ia diperkasakan lagi ketika era kerajaan PN.
Namun, di bawah kerajaan Madani, JPKK diwujudkan di negeri-negeri yang bukan dikuasai PH-BN sehingga menyebabkan wujud dua institusi serupa di negeri terbabit.
Bagaimanapun usaha memperkasakan MPKK terus dilaksanakan di Kelantan dengan pelancaran semula di setiap kawasan parlimen di negeri itu.
Baru-baru ini perasmian penubuhan MPKK diadakan di kawasan Parlimen Bachok yang disempurnakan Adun Jelawat Haji Zameri Mat Nawang.
Turut hadir pada program itu Adun Pantai Irama Haji Mohd Huzaimy Che Husin, Adun Tawang Ustaz Harun Ismail dan Pengarah Urusetia Pembangunan Penghulu Negeri Haji Zulkifli Mamat.
Taklimat khas turut diadakan disampaikan Haji Zulkifli berkaitan peranan dan tanggungjawab MPKK dalam usaha memperkukuh pembangunan komuniti di peringkat kampung.
Turut diadakan penyampaian surat pelantikan anggota MPKK Parlimen Bachok kepada setiap penghulu dan ahli jawatankuasa MPKK.
Dan semalam program serupa diadakan di peringkat parlimen Ketereh yang diadakan di Dewan Dato’ Kadok.
Perasmian disempurnakan Adun Kadok Dato’ Sr Azami Mohd Nor. Hadir sama Adun Melor Wan Rohimi Wan Daud dan Haji Zulkifli.
0 Comments