RMK13 pelan kerajaan Madani hadapi PRU


KUALA LUMPUR: Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) dianggap sebagai pelan kerajaan Madani bagi menghadapi pilihan raya umum (PRU) dan bukan pelan negara.

Pengerusi Biro Ekonomi & Sara Hidup Bumiputera PUTRA Dr Mohamad Izwan Zainal berkata, segala hala tuju dalam RMK13 kelihatan lebih kepada menjaga hati pengundi tertentu untuk kekal memegang tampuk kuasa pada PRU16. 

Katanya, agenda pembangunan negara dan kesejahteraan rakyat keseluruhan hanya sampingan, manakala strategi politik menjadi teras sebenar rancangan tersebut.

“Banyak lagi kelemahan dasar RMK13, namun dasar yang dianggap hebat tidak bermakna jika pelaksanaannya lemah, tiris, rasuah dan mementingkan projek-projek mega untuk golongan elit dan kroni. 

“PUTRA akan memantau RMK13 dengan cara kritikal tanpa takut dan jauh dari sifat bodek dan retorik,” katanya pada kenyataan. 

Beliau yang juga Ahli Dewan Tertinggi PUTRA menyifatkan agenda Bumiputera dipinggirkan dalam RMK13 dan sekadar mengulang janji lama tanpa sebarang pembaharuan bermakna. 

Agenda Bumiputera dibekukan, manakala kelompok lain terus menerima pembaharuan yang progresif. 

Menurutnya juga dasar ’need-based’ mesti menyeluruh dan bukan setakat B40 sahaja. 

“Setiap belanjawan tahunan mahupun jangka panjang seperti RMK memperlihatkan pembaharuan menyeluruh yang menguntungkan masyarakat Cina. 

“Ini memberi mesej jelas kerajaan khususnya DAP mahu memastikan keyakinan pengundi mereka kekal, sekaligus menjamin sokongan padu menjelang PRU16,” ujarnya.

Post a Comment

0 Comments