Pemimpin dekati pelajar, teladani semangat Ziauddin Yousafzai


Oleh: Norzana Razaly

TUMPAT, 12 Ogos – Keakraban pemimpin dengan warga sekolah khususnya ibu bapa dan pelajar, menjadi kunci membina generasi berilmu dan berakhlak, sebagaimana dibuktikan tokoh pendidikan dunia, Ziauddin Yousafzai, yang terkenal dengan dedikasi memperjuangkan pendidikan anak-anak tanpa mengira cabaran.

Semangat itu terserlah di Maahad Muhammadi Pasir Pekan apabila Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi YB Dato’ Wan Roslan Wan Hamat bersama-sama warga sekolah menunaikan solat hajat yang dipimpin imam undangan khas Ustaz Mohd Nordin Jaafar.

Solat hajat berkenaan diadakan bagi memohon keberkatan Allah SWT, menolak segala perkara yang tidak baik, serta memohon perlindungan-Nya agar seluruh warga sekolah sentiasa berada dalam rahmat dan bimbingan Ilahi.

Menurut Dato’ Wan Roslan, inisiatif sebegini bukan sahaja mengukuhkan hubungan antara pemimpin, guru, ibu bapa dan pelajar, bahkan menyuntik inspirasi untuk mencontohi aktivis pendidikan dan ayah kepada Malala Yousafzai, pemenang Nobel Perdamaian Ziauddin Yousafzai yang menjadikan pendidikan sebagai perjuangan hidup.


“Pendidikan adalah amanah yang mesti dijaga bersama. Kejayaan pelajar adalah kejayaan kita semua. Sebagai mantan guru dan pengetua, alam pendidikan sudah sebati dengan hidup saya. Jadi, setiap kali saya berpeluang bersama ibu bapa dan pelajar, inilah ruang untuk selami jiwa mereka.

"Bagi saya, pendidikan bukan hanya tentang kecemerlangan akademik semata-mata. Pembentukan sahsiah paling utama. Sebab itu Kelantan perkenalkan Dasar Pendidikan Rabbani yang menuntut pelajar mengungguli bidang akademik dan berakhlak,” jelasnya.

Tambahnya, majlis itu juga menjadi ruang memohon kemudahan urusan pembelajaran pelajar, khususnya calon peperiksaan, agar dikurniakan ketenangan hati, kekuatan fikiran serta kejayaan yang bermanfaat kepada masyarakat.

Post a Comment

0 Comments