PKPN diseru jadi penggerak, pelaksana agenda negeri


Oleh: Norzana Razaly

KOTA BHARU, 6 Ogos – Para Pegawai Kontrak Kerajaan Negeri Kelantan diseru menjadi penggerak dasar dan pelaksana agenda negeri.

Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta, YB Mohd Asri Mat Daud menyeru hal tersebut dengan menegaskan bahawa penubuhan Persatuan Pegawai-pegawai Kontrak Untuk Perkhidmatan Kerajaan Negeri Kelantan (PKPN) amat penting bagi menyelaras kemaslahatan, kebajikan dan hak pegawai kontrak secara menyeluruh, khususnya sebagai mekanisme rasmi yang menghubungkan dasar kerajaan dengan realiti pelaksanaan di lapangan.

“PKPN mesti menjadi suara rasmi dan penggerak kepada kerajaan negeri untuk memastikan agenda Futures State 2033 dapat dijayakan dengan sebaik mungkin,” tegasnya.

Beliau berkata demikian ketika ketika merasmikan Mesyuarat Agung PKPN Kali Keempat yang diadakan di sebuah hotel, di sini, hari ini.

Beliau juga menegaskan bahawa pegawai lantikan politik tidak boleh dipinggirkan, sebaliknya perlu menerima hak dan kelebihan yang setara dengan penjawat awam tetap, termasuk dari segi elaun, kemudahan dan struktur perjawatan selaras dengan pekeliling semasa.

"Kita tidak mahu pegawai kontrak dianaktirikan. Mereka juga merupakan petugas yang diperintahkan oleh kerajaan negeri dan wajar diperkasakan peranan serta diberi pengiktirafan setimpal,” katanya.

Menurutnya lagi, pegawai lantikan politik wajar diberikan peluang untuk meningkatkan kapasiti diri termasuk menyambung pengajian hingga ke peringkat doktor falsafah (PhD), supaya tahap kompetensi kekal tinggi dan setaraf dengan pegawai tadbir negeri.

YB Mohd Asri turut memetik Surah al-Insyirah ayat 7 sebagai peringatan tentang budaya kerja cemerlang berlandaskan nilai Islam.

“Apabila engkau selesai dari sesuatu urusan, maka bersungguh-sungguhlah mengerjakan urusan yang lain pula,” jelas beliau sambil menekankan bahawa setiap kerja perlu disudahkan dengan tekad dan semangat berterusan.

Beliau menyatakan, kerajaan negeri kini mempunyai lebih 750 pelan tindakan yang sedang digerakkan hingga 2028, dan setiap satu perlu mencapai kadar pelaksanaan melebihi 90 peratus, selari dengan manifesto yang dijanjikan.

“Kita berjanji, kita tepati. Jika kita gagal merancang, itu bermakna kita sedang merancang untuk gagal. Prinsip ini mesti difahami semua pegawai lantikan politik dan pentadbiran,” ujarnya.

YB Mohd Asri turut menyentuh soal tarbiyah kerja, iaitu kesedaran bahawa tanggungjawab tidak terhad kepada waktu pejabat semata-mata, bahkan perlu dijalankan secara ikhlas kerana Allah SWT.

“Kita berkhidmat sepanjang masa. Di luar waktu pejabat ada lagi program dan tugas. Nilai tarbiah perlu diterapkan agar kita bekerja dengan penuh integriti dan ikhlas, demi ganjaran yang lebih besar di akhirat kelak,” tambahnya.

Beliau juga menyeru semua ahli PKPN agar terus bersatu padu, berlapang dada dan berintegriti dalam membantu memperkukuh pentadbiran kerajaan negeri.

Post a Comment

0 Comments