Oleh: Asri Hamat
KUALA KRAI, 3 Ogos – Wat Salawanothayan, Batu Jong menjadi saksi keindahan semangat perpaduan apabila masyarakat pelbagai kaum dari pelbagai latar budaya dan agama berganding bahu memasak bubur asyura sempena sambutan Maal Hijrah 1447H dalam program ‘Kacau Sugho Perpaduan’ anjuran Pusat Integrasi Antara Kaum (PEKA) dengan kerjasama Kerajaan Negeri Kelantan, di sini,pada Jumaat.
Program kemasyarakatan itu dirasmikan oleh Exco Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat YB Zamakhshari Muhammad yang menyifatkan suasana harmoni di Kelantan sebagai model perpaduan yang wajar dicontohi seluruh negara.
“Di Kelantan, tradisi ‘kacau sugho’ bukan sekadar masakan warisan, tetapi medan penyatuan. Di sini, masyarakat Melayu, Cina, India, Siam semuanya datang bersama. Bukan sahaja di masjid atau balai raya, tetapi juga di wat seperti hari ini. Inilah bukti perpaduan bukan slogan, tetapi amalan hidup,” ujar beliau.
![]() |
YB Zamakhshari Muhamad, Exco Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat Negeri Kelantan |
YB Zamakhshari turut menekankan bahawa semangat saling menghormati dan tolong-menolong dalam kalangan rakyat pelbagai kaum perlu diteruskan di luar batas program tahunan dan disuburkan dalam kehidupan harian.
“Perpaduan ini bukan untuk dipertontonkan sekali-sekala, ia perlu dibudayakan dalam keluarga, tempat kerja dan komuniti. Bila kita hidup dalam suasana aman, tak kiralah Melayu, Cina, India atau siapa pun, kita semua akan rasa damai dan sejahtera,” katanya.
Sementara itu, Ahli Parlimen Kuala Krai YB Abdul Latif turut menzahirkan penghargaan kepada PEKA atas penganjuran yang disifatkan sebagai manifestasi perpaduan tulen.
![]() |
YB Abdul Latif, Ahli Parlimen Kuala Krai |
“Perpaduan di Kelantan ini bukan benda baharu. Kita sudah lama hidup bersama dalam suasana harmoni. Kadang-kadang kita tak perlu pun slogan kerana rakyat Kelantan sendiri sudah mengamalkan nilai itu dalam kehidupan seharian,” jelasnya,
Pengerusi PEKA Lim Guang Seng pula berkata, program ‘kacau sugho’ berkenaan bukan sahaja memperkenalkan makanan tradisi kepada pelbagai kaum, malah menjadi jambatan menghubungkan hati antara komuniti.
“Apabila masuk bulan Muharam, semua lapisan masyarakat tanpa mengira kaum akan turun padang untuk bersama menyediakan bubur asyura. Inilah kekuatan Kelantan yang tidak dimiliki oleh semua negeri,” katanya.
Beliau juga memaklumkan bahawa program tersebut telah menjadi acara tahunan PEKA sejak beberapa tahun lalu.
“Sebanyak tiga kawah bubur asyura dimasak dalam program tersebut yang dihadiri oleh lebih 300 penduduk pelbagai kaum dan agama,” ujarnya.
Sebagai simbolik penghargaan dan sokongan kepada usaha perpaduan, YB Zamakhshari turut menyampaikan sumbangan kepada beberapa NGO masyarakat Cina dan India di Parlimen Kuala Krai.
Turut hadir memeriahkan majlis ialah Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar YB Hilmi Abdullah, Ahli Dewan Negeri (ADN) Manek Urai YB Mohd Fauzi Abdullah, ADN Mengkebang YB Zubir Abu Bakar serta pimpinan masyarakat setempat termasuk wakil komuniti Cina dan India dari seluruh Kelantan.
0 Comments