SALMAH MAT HUSAIN
KOTA BHARU: Video yang memaparkan dua sahabat mencari dan menyelidik program kebajikan dilaksanakan kerajaan Kelantan sejak tahun 1990 muncul johan pertandingan video pendek sempena Karnival Kelantanku Cakna 2025.
Video itu mengetengahkan pelbagai inisiatif kebajikan yang disediakan kerajaan negeri untuk rakyat termasuk anak muda, golongan wanita, warga emas, orang kurang upaya, asnaf, dan armalah.
Mohamad Hafizi Mohd, 31, lepasan Ijazah Multimedia Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Mohamad Firdaus Mohd, 24 memiliki Diploma Multimedia dan Pengiklanan Kolej Komuniti Kok Lanas, menerima hadiah RN3,000 di samping sijil penghargaan.
Dua beradik terbabit menghasilkan video pendek pada pertandingan anjuran Urusetia Urus Setia Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita (U-KeKWA).
Menurut Hafizi, idea menghasilkan video tersebut timbul apabila beliau menyedari masih ramai rakyat Kelantan tidak mengetahui secara menyeluruh bentuk bantuan dan kebajikan yang dilaksanakan kerajaan negeri.
“Sebab itu kami olah kisah dua sahabat yang kononnya dalam misi mencari maklumat tentang program kebajikan kerajaan negeri.
“Kami jadikan bentuk dokumentari olok-olok (mockumentary), tetapi kandungannya sebenar dan berdasarkan kajian kami sendiri,” katanya di sini.
Firdaus pula berkata, mereka mengambil masa seminggu untuk menyiapkan video tersebut termasuk proses perbincangan jalan cerita, skrip, dialog dan penggambaran.
Katanya, gaya video berbentuk informatif seakan dokumentari bertujuan menyampaikan maklumat kepada masyarakat dengan cara yang santai dan kreatif.
“Pertandingan ini kami tahu melalui hebahan di Facebook Urus Setia Wanita kira-kira sebulan lepas, dan sejak itu kami mula merancang bersama-sama,” ujarnya.
Dua beradik terbabit turut berkongsi maklumat semasa menerusi platform Tiktok Auziy Talk.
Mereka juga berhasrat mencipta beberapa siri video bermaklumat lagi pada masa akan datang termasuk berkaitan menjaga kebersihan yang menjadi agenda kerajaan negeri.
0 Comments