Oleh: Asri Hamat
KOTA DARULNAIM, 4 Ogos 2025 – Penyertaan Kelantan dalam World Expo 2025 di Osaka, Jepun menjadi medan utama mempromosikan negeri ini sebagai destinasi pelaburan baharu yang stabil dan berdaya saing kepada pelabur antarabangsa,
Exco Pelaburan, Perindustrian, Sumber Manusia, Perdagangan dan Keusahawanan YB Mejar (B) Dato' Md Anizam Ab Rahman berkata sepanjang lima hari ekspo berlangsung dari 28 Julai hingga 3 Ogos, delegasi negeri telah mengadakan pelbagai sesi strategik bersama syarikat dan agensi kerajaan Jepun di Pavilion Malaysia sekali gus membuka ruang kepada pertukaran maklumat, penerangan pelaburan dan perkongsian pengalaman.
“Ini adalah platform penting bagi mengetengahkan kekuatan Kelantan dalam sektor perindustrian, logistik dan sumber tenaga kerja.
"Kita mahu Jepun melihat bahawa Kelantan adalah lokasi pelaburan yang mampu memberi pulangan jangka panjang,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Beliau turut menekankan bahawa kejayaan syarikat Rohm Co. Ltd yang telah bertapak di Kelantan lebih 30 tahun menjadi bukti kukuh keupayaan negeri itu menyediakan persekitaran pelaburan yang stabil dan menyokong pertumbuhan jangka panjang.
“Pengalaman dan komitmen Rohm Co. Ltd menjadi rujukan dan penanda aras kepada syarikat Jepun lain untuk menilai peluang pelaburan di Kelantan,” tambahnya.
Hasil penyertaan dalam ekspo antarabangsa itu, katanya, beberapa potensi baharu telah dikenal pasti, termasuk dalam sektor teknologi bersih, pemprosesan makanan halal, tenaga boleh diperbaharui dan pembangunan sumber manusia.
“Inilah antara hasil yang kita harapkan dengan menjalin jaringan strategik dan membuka pintu baharu untuk masa depan ekonomi Kelantan.
"Dengan doa dan usaha semua pihak, insya-Allah, kita akan terus melangkah ke hadapan,” ujarnya.
Beliau yang diiringi timbalannya, YB Mohamad Nasriff Daud menegaskan bahawa penyertaan Kerajaan Negeri Kelantan di ekspo tersebut turut menggambarkan komitmen serius membawa negeri itu ke peringkat global, sejajar dengan aspirasi Kelantan Maju Rakyat Sejahtera.
Turut serta menyertai delegasi, Setiausaha Kerajaan Negeri YBM Tengku Kaya Perkasa Dato’ Dr Tengku Mohamed Faziharudean Tengku Feissal dan Pengarah Pejabat Tanah dan Galian Negeri Kelantan (PTG) Nik Raisnan Daud.
0 Comments