Oleh: Norzana Razaly
KUALA LUMPUR, 4 Ogos – “Kalau bukan sekarang, bila lagi?” Itulah seruan tegas Ahli Parlimen Tumpat YB Dato’ Mumtaz Md Nawi yang menggesa Malaysia memimpin gelombang solidariti dunia Islam dan negara Global South dalam memperjuangkan nasib Palestin, terutama menjelang kepengerusian Malaysia dalam ASEAN 2025.
Beliau yang juga Delegasi Rasmi Parlimen Malaysia ke Forum Serantau Senjata Kecil (PFSALW) anjuran Persidangan Antara Parlimen ASEAN (AIPA), menyatakan bahawa dunia kini sedang menyaksikan tragedi kemanusiaan terbesar abad ini. Lebih 60,000 rakyat Palestin gugur syahid, ribuan daripadanya wanita dan kanak-kanak, sementara Gaza dilumpuhkan sepenuhnya.
“Air mata, darah dan maruah Palestin kini berada di tahap paling genting. Jika Malaysia tidak bangkit hari ini, siapa lagi? Dan jika bukan sekarang, bila lagi?” tegasnya dalam satu kenyataan kepada media, pada Ahad.
Menurutnya, Malaysia yang selama ini dikenali sebagai pendamai serantau dan pendukung prinsip kemanusiaan mesti melangkah lebih berani dalam usaha diplomatik dengan mendesak gencatan senjata segera, membawa isu Palestin ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) dan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC), serta menggalas peranan sebagai suara utama dunia Islam.
Mengulas isu semasa berkaitan Hamas, Dato’ Mumtaz mengecam usaha melabel gerakan itu sebagai pengganas, dengan menyifatkan tindakan sedemikian sebagai pengkhianatan kepada realiti sejarah dan demokrasi rakyat Palestin.
“Hamas ialah kerajaan yang sah dan dipilih secara demokratik sejak 2006, dan menjadi pemerintah de facto Gaza. Malaysia tidak wajar berganjak daripada pengiktirafan rasmi ini,” katanya.
Beliau menegaskan, tekanan kuasa besar dan lobi Zionis tidak harus menundukkan pendirian Malaysia, dan sebarang ‘normalisasi’ hubungan dengan rejim Israel melalui naratif damai palsu wajib ditolak sepenuhnya.
Dato’ Mumtaz turut menyaran Perdana Menteri Malaysia (PMX) membawa usul tergempar mengenai Palestin dalam sidang ASEAN 2025, melibatkan penyertaan aktif negara-negara Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM).
“PMX mempunyai autoriti dan mandat moral serta politik untuk memimpin gerakan ini. Malaysia mesti tampil sebagai pendesak utama ke arah penyelesaian adil untuk Palestin,” ujarnya.
Dalam masa sama, beliau mencadang agar Malaysia menghantar utusan khas ke ibu negara kuasa besar dunia termasuk bertemu Presiden Amerika Syarikat bagi menyerahkan tuntutan rasmi menghentikan kekejaman Israel.
Mengimbau penglibatan Malaysia terdahulu dalam isu antarabangsa seperti Bosnia, Rohingya, Afghanistan dan Mindanao, Dato’ Mumtaz berkata sudah tiba masanya Malaysia kembali memainkan peranan strategik yang lebih lantang dan konsisten.
“Israel bukan sebuah negara sah, tetapi entiti penjajah yang terus melanggar undang-undang antarabangsa. Malaysia tidak boleh berkompromi dalam hal ini. Ia soal maruah umat dan amanah kemanusiaan sejagat,” katanya.
Mengakhiri kenyataan, beliau memetik sabda Nabi SAW dan ayat al-Quran sebagai landasan perjuangan, mengingatkan bahawa cinta kepada saudara seagama dan penolakan terhadap kezaliman adalah sebahagian daripada keimanan.
“Seseorang kamu tidak benar-benar beriman sehingga dia mengasihi saudaranya sebagaimana dia mengasihi dirinya sendiri” – (Riwayat Bukhari dan Muslim).
“Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang zalim, nanti kamu disentuh api neraka” – (Surah Hud: 113).
0 Comments