Kenyataan Puad Zarkashi tidak masuk akal


KOTA BHARU: Kenyataan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Dato’ Dr Puad Zarkashi yang dilapor menyarankan PAS mengikuti jejak SIS Forum menggugurkan nama Islam sebagai tidak masuk akal.

Ketua Dewan Pemuda PAS Kelantan Mohd Firdaus Nawi berkata, saranan supaya PAS menggugurkan nama Islam ibarat menyuruh burung supaya jangan terbang. 

Katanya PAS tidak akan sekali-kali menggugurkan nama Islam daripada parti itu kerana Islam adalah asas dan teras perjuangan sejak awal penubuhannya.

"Pihak yang mencadangkan PAS gugurkan nama Islam sebenarnya tidak selesa dengan sinar perjuangan Islam yang dibawa PAS dan cuba menutup cahaya itu daripada sampai kepada masyarakat.

“Jangan kerana silau tengok sinar Islam, kita suruh orang pejam mata. Islam bukan sekadar nama. Ia cara hidup, prinsip perjuangan dan panduan kepimpinan,” katanya pada kenyataan. 

Menurutnya juga jika ada pihak yang rasa ‘panas’ hanya dengan mendengar nama Islam, mungkin mereka perlu diruqyah dahulu.

Katanya juga kenyataan itu lebih mengejutkan kerana datang daripada pemimpin parti yang membawa nama ‘Melayu’ dalam akronim Umno.

“Umno sebut perjuangkan Melayu, tetapi realitinya Melayu luar bandar semakin miskin, tanah tergadai dan pemimpin sibuk menjaga kroni. Mana Melayu yang diperjuangkan, nampaknya hanya Melayu elit,” katanya.


Menurutnya juga Parti Keadilan Rakyat (PKR) sudah jauh menyimpang daripada prinsip keadilan apabila kepimpinan tertinggi parti hanya berkisar dalam kalangan ahli keluarga sahaja. 


SIS Forum (Malaysia) dilapor menggugurkan perkataan Islam daripada nama 'Sisters In Islam' yang lazim digunakan sebelum ini ekoran teguran Sultan Selangor.

Post a Comment

0 Comments