Lebih 400kg sampah dikutip, komuniti pantai diseru jaga kebersihan laut


Oleh: Asri Hamat
Kredit foto: Unit Media Exco

KOTA DARULNAIM, 17 Ogos – Lebih 400 kilogram (kg) sampah berjaya dikutip dalam satu gerakan pembersihan pantai berskala besar di Tok Bali pada Sabtu.

Sehubungan itu, Exco Pertanian, Industri Agro Makanan dan Komoditi YB Dato' Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail menyeru komuniti pesisir pantai menjaga keselamatan laut agar sebarang insiden yang boleh dicegah tidak berulang dalam kalangan nelayan.

“Pendedahan tentang keselamatan laut kepada para nelayan amat penting. Kita tidak mahu berlaku sebarang kejadian yang boleh dielakkan sekiranya langkah pencegahan diambil lebih awal,” katanya menerusi media sosial, semalam.

Program anjuran Pejabat Perikanan Negeri Kelantan dengan sokongan PETRONAS, Hess Corporation Malaysia, Hibiscus Malaysia dan Persatuan Nelayan Kawasan Semerak itu disifatkannya berjaya mengetengahkan agenda mendidik komuniti pesisir mengenai aspek keselamatan laut dan tanggungjawab pemuliharaan jangka panjang.


Sebagai tanda sokongan kepada para nelayan, sebanyak 130 peserta menerima sumbangan jaket keselamatan, alat pemadam api dan bakul makanan hasil tajaan rakan strategik program berkenaan.

“Program ini mencerminkan kerjasama erat antara agensi kerajaan, sektor korporat dan komuniti nelayan demi menjamin keselamatan laut dan kelestarian alam sekitar. Saya mohon kerjasama semua pihak, terutamanya masyarakat tempatan, untuk terus menjaga kebersihan dan keindahan pantai, ” jelasnya.

Dato’ Tuan Mohd Saripudin turut menzahirkan komitmen kerajaan negeri dalam menjadikan Tok Bali sebagai kawasan pantai yang bersih dan selamat serta berpotensi menjadi tumpuan pelancongan baharu yang dapat menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi setempat.



Post a Comment

0 Comments