Pasukan Azimi rangkul kejuaraan Bowling KSK UPKN 2025


Oleh: Norzana Razaly

KOTA BHARU, 17 Ogos – Pasukan Bowling Urus Setia Penerangan dan Komunikasi Negeri Kelantan (UPKN) yang diketuai Penolong Pengarah (Penerbit Rancangan), Azimi Mahmood muncul juara Pertandingan Bowling Kelab Sukan dan Kebajikan (KSK) UPKN 2025 selepas menewaskan sembilan pasukan lain dengan catatan keseluruhan 888 pin di Gelanggang Bowling Mydi Mall Tunjong, pada Sabtu.

Pertandingan yang berlangsung meriah itu turut menyaksikan Penolong Pengarah (Libat Urus Masyarakat) Che Mohd Irman Ismail dinobatkan sebagai pemain terbaik selepas mencatat jatuhan 254 pin sekali gus membantu pasukannya mengungguli saingan.


Menurut Azimi yang juga Pengerusi KSK, temasya sukan tahunan kali ini dibuat secara serentak dengan penganjuran Hari Keluarga UPKN sebagai langkah penjimatan kos dan menyantuni kekangan masa melibatkan warga kerja UPKN.

“Program bermula pada petang Khamis dengan acara badminton di Kompleks Kota Darulnaim. Pada pagi Jumaat pula, warga UPKN bersaing dalam acara memanah, melontar dart dan karom sebelum berentap di gelanggang bowling pada sebelah malam. Sukaneka keluarga pula diadakan pada pagi Sabtu di Chalet Barakah Pantai Melawi, Bachok,” katanya.





Sementara itu, Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta YB Mohd Asri Mat Daud menegaskan penganjuran program berbentuk riadah dan sukan amat penting kerana mampu mengurangkan tekanan kerja serta mengeratkan ukhuwah antara warga UPKN.


“Acara sebegini ibarat berhenti sejenak untuk menyegarkan semula fizikal, emosi dan mental sebelum meneruskan gerak kerja pasukan. Kini kita sudah berada di suku pertengahan tahun, bermakna hanya berbaki beberapa bulan lagi untuk melunaskan amanah agenda Membangun Bersama Islam. Justeru, kita perlu kekal cergas dan berstamina,” jelasnya.

Beliau bersama timbalannya, YB Nik Bahrum Nik Abdullah hadir bagi memeriahkan pertandingan bowling serta menyampaikan hadiah kepada semua pemenang bagi setiap acara yang dipertandingkan. 

Post a Comment

0 Comments