![]() |
Exco Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat YB Zamakhshari Muhammad sewaktu lawatan kerja ke tapak projek bersama rombongan KBS |
Oleh: Asri Hamat
Kredit foto: Unit Media Exco
KOTA DARULNAIM, 12 Ogos – Pembinaan kompleks sukan Madinah al-Riadah di Bukit Merbau yang bakal menjadi lokasi utama Sukan Malaysia (SUKMA) 2028 mencatat kemajuan 20.6 peratus setakat 31 Julai lalu.
Exco Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat YB Zamakhshari Muhammad berkata, walaupun sedikit rendah berbanding sasaran 21.93 peratus, perkembangan keseluruhan projek adalah memuaskan dan berjalan mengikut jadual.
“Alhamdulillah, kemajuan pembinaan terutama Stadium Bukit Merbau berjalan baik meskipun berdepan cabaran seperti kerja meletupkan batu hampar serta isu teknikal lain. Terima kasih kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yang sentiasa memantau perkembangan projek ini,” katanya menerusi catatan di media sosial, hari ini.
Menurutnya, kerajaan negeri melalui pemantauan rapat pihaknya akan memastikan semua persiapan infrastruktur sukan dapat disiapkan mengikut jadual bagi menjayakan penganjuran SUKMA 2028.
Zamakhshari turut merakamkan penghargaan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) termasuk JKR Pusat, JKR Negeri, JKR Pasir Puteh serta semua pihak yang terlibat dalam penyediaan laporan dan status semasa pembinaan.
Terdahulu, beliau menyertai lawatan kerja ke tapak projek bersama rombongan KBS yang diketuai Timbalan Ketua Setiausaha KBS Abdullah Hasan diiringi wakil JKR Pusat, JKR Negeri dan JKR Pasir Puteh bagi mendengar taklimat serta meninjau perkembangan terkini.
0 Comments