KUALA LUMPUR: Sekolah berasrama disaran mengambil pendekatan model yang dilaksanakan di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) ‘you touch you go’ (anda buli, anda akan disingkir) bagi menangani kes buli.
Ahli Parlimen Alor Setar Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata, pendekatan yang dilaksanakan di sekolah asrama di bawah MARA wajar diperluaskan ke sekolah lain.
Katanya pendekatan ‘you touch you go’ memperlihatkan tindakan tegas pihak pentadbir sekolah terhadap kes buli yang berlaku.
“Kes buli berterusan berlaku sehingga sekarang termasuk terbaharu kes adik Zara.
“You touch you go mengambil tindakan tegas sekiranya didapati berlaku sentuhan fizikal,” katanya ketika membangkitkan isu tersebut pada sesi Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat hari ini.
Afnan Hamimi yang juga Ketua Pemuda PAS Malaysia turut mencadangkan kerajaan menyediakan talian hotline yang melibatkan pelbagai pihak bagi menangani segera kes buli.
Menjawab isu tersebut Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Zamri Abdul Kadir berkata, dalam konteks institusi pengajian tinggi (IPT) awam sudah ada peraturan sedia ada.
Katanya ada tujuh langkah yang dibuat berdasar kes yang terlibat di IPT awam di negara ini.
Kata beliau istilah buli ada pelbagai jenis termasuk secara fizikal dan buli siber.
“Di peringkat kementerian sudah ada jawatankuasa yang kendalikan kes-kes tersebut, kalau libatkan kes jenayah akan dilapor terus kepada pihak polis,” ujarnya.
Sesi Pertanyaan-Pertanyaan Menteri pada kebiasaan pada setiap pagi Selasa sepatutnya dijawab Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, namun beliau tidak hadir hari ini.
Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul sebelum ini memberitahu pada setiap Selasa dalam tempoh mesyuarat Dewan Rakyat kali ini akan dijawab perdana menteri.
Menurutnya perdana menteri akan menjawab tiga soalan, manakala pada setiap Khamis akan dijawab menteri-menteri.
0 Comments