Oleh: Norzana Razaly
Kredit foto: Unit Media Menteri Besar
Kredit foto: Unit Media Menteri Besar
KOTA DARULNAIM, 26 Ogos – Kerajaan Negeri Kelantan merancang untuk membina Masjid Madinah Ramadan berkapasiti hampir 6,000 jemaah di Bandar Baru Tunjong sebagai sebahagian daripada Projek Mega Rancangan Kawasan Khas (RKK) Bandar Baru Tunjong (BBT) 2035.
Menteri Besar Kelantan YAB Ustaz Dato’ Panglima Perang Mohd Nassuruddin Daud berkata, masjid itu bakal menjadi mercu tanda baharu negeri yang memperkukuh syiar Islam di samping memberi impak besar terhadap pembangunan kerohanian dan sosioekonomi.
“Masjid ini turut dilengkapi Pusat Mushaf al-Quran dan Manuskrip serta penempatan Pejabat Hal Ehwal Islam.
"Ia dijangka menjadi pusat tumpuan umat Islam sekali gus mengangkat peranan Bandar Baru Tunjong sebagai bandar terancang bercirikan Islam,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Beliau juga memaklumkan bahawa perkara itu dibincangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pembangunan Projek Madinah Ramadan yang dipengerusikannya di Kompleks Kota Darulnaim pada 18 Ogos lalu.
Menurutnya, mesyuarat berkenaan bertujuan memastikan pelaksanaan projek berjalan lancar, memantau kemajuan semasa serta menyelesaikan isu berkaitan agar pembangunan mengikut jadual dan menepati standard terbaik.
0 Comments