PTJ Pasir Mas sambut baik usaha pemerkasaan Desa Taqwa

Ketua Jajahan Pasir Mas Shamsul Abu Bakar

Oleh: Norzana Razaly

PASIR MAS, 25 Ogos – Pejabat Tanah dan Jajahan (PTJ) Pasir Mas menyambut baik usaha Kerajaan Negeri Kelantan memperkasa semula program Desa Taqwa sebagai model pembangunan masyarakat berasaskan takwa dengan sokongan kemajuan material.

Ketua Jajahan Pasir Mas Shamsul Abu Bakar berkata konsep Desa Taqwa menekankan keseimbangan antara kerohanian dan kebendaan agar masyarakat kampung bukan sahaja maju dari sudut fizikal, tetapi turut dipandu nilai iman dan takwa.

“Terima kasih kepada Kerajaan Negeri Kelantan kerana memilih Desa Taqwa Gelang Mas mewakili Jajahan Pasir Mas bersama tiga lagi Desa Taqwa lain untuk diperkasakan pada tahun ini. 

"Usaha ini penting bagi menghidupkan kembali gagasan Desa Taqwa yang diperkenalkan lebih 30 tahun lalu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan alu-aluan pada Majlis Perasmian Pemerkasaan Desa Taqwa yang disempurnakan oleh Timbalan Menteri Besar Kelantan YB Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan, di Kampung Gelang Mas, hari ini.


Shamsul menegaskan kejayaan program berkenaan bukan hanya bergantung kepada pihaknya dan jawatankuasa kampung semata-mata, sebaliknya turut dipikul Pejabat Penggawa agensi kerajaan negeri dan GLC sebagai rakan strategik.

“Dengan pelancaran ini, lengkaplah satu Desa Taqwa bagi setiap jajahan diperkasakan kembali sebagai projek perintis.

"Walaupun fasa pertama hanya membabitkan sepuluh buah Desa Taqwa, usaha ini wajar diperluas kepada baki kampung lain agar program terus kekal relevan,” jelasnya.

Beliau juga berharap usaha pemerkasaan itu diharap mampu mengembalikan peranan Desa Taqwa sebagai kampung contoh yang membangunkan modal insan bertakwa seiring dengan arus kemajuan zaman.


Untuk rekod, program Desa Taqwa diperkenalkan pada tahun 1991 sebagai inisiatif pembangunan komuniti di kampung terpilih dalam sesebuah mukim.

Sehingga kini, sebanyak 101 buah Desa Taqwa diwujudkan di seluruh negeri, termasuk 11 buah di Jajahan Pasir Mas antaranya Kampung Gelang Mas, Kampung Banggol Setol, Kampung Machang Gochoh dan Kampung Tempoyak.




Post a Comment

0 Comments