Ops Selamat PaPa: Kelantan serius perangi rokok, vape



Oleh: Asri Hamat

KOTA BHARU, 11 Ogos – Kerajaan Kelantan menegaskan keseriusan memerangi ancaman rokok dan vape menerusi Operasi Bersepadu Selamat Paru-Paru (Ops Selamat PaPa) yang digerakkan di seluruh negara.

Komitmen penuh itu sekali gus melindungi generasi akan datang daripada bahaya produk tembakau.

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar YB Hilmi Abdullah berkata operasi berlandaskan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) tersebut menumpukan pendekatan mendidik dan mencegah, selain tindakan penguatkuasaan.
Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar YB Hilmi Abdullah

“Setiap amaran, pemeriksaan dan tindakan adalah mesej kasih sayang kerajaan kepada rakyat. 

"Kami mahu paru-paru kamu selamat, kami mahu anak-anak kamu sihat. Penguatkuasaan undang-undang kesihatan awam adalah amanah, bukan untuk menindas,” tegasnya ketika merasmikan pelancaran Ops Selamat PaPa peringkat Negeri Kelantan 2025 di Dewan Utama Kompleks Islam Jubli Perak Sultan Ismail Petra, di sini, hari ini.

Menurut beliau, antara peruntukan yang dikuatkuasakan termasuk larangan iklan, promosi dan tajaan produk merokok, penjualan kepada orang belum dewasa dan penjualan tidak mengikut harga atau syarat ditetapkan serta kesalahan berkaitan label dan pembungkusan.

Bagi kesalahan pertama, syarikat boleh dikenakan denda RM20,000 hingga RM100,000 atau penjara maksimum dua tahun. 

Manakala kesalahan berikutnya dikenakan denda sehingga RM300,000 atau penjara tiga tahun.

YB Hilmi turut merakamkan penghargaan kepada agensi penguat kuasa seperti Jabatan Kesihatan Negeri, pihak berkuasa tempatan, Polis Diraja Malaysia, Kastam, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) dan Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara atas kerjasama bersepadu.

Kelantan merupakan negeri terawal menguatkuasakan larangan penjualan vape dan shisha sejak 2015, selain melaksanakan Inisiatif Kelantan Bebas Asap Rokok (IKBAR) pada 2013 yang mewartakan 15 zon larangan asap rokok bermula 2017.

Inisiatif berkenaan turut disokong NGO dan kumpulan belia Sahabat IKBAR.

Dalam perkembangan berkaitan, tujuh pihak berkuasa tempatan di negeri ini telah menjalankan 65 operasi dan merampas 42,159 perisa vape sehingga Julai lalu. 

MPKB-BRI mencatat rampasan terbesar iaitu 21,500 unit, diikuti Majlis Daerah Tanah Merah (11,883 unit).

Majlis pelancaran hari ini turut menyaksikan penyerahan watikah kerjasama kepada rakan strategik dan buku Akta 852 kepada Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan serta PBT. 


Turut hadir, Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Kesihatan Awam) Dr Faris Awang, Timbalan Pengarah UPEN Wan Lily Liana Wan Mat, Pengarah Bahagian Kerajaan Tempatan Nor Sheri Erani Abdullah dan ketua-ketua jabatan.

Post a Comment

0 Comments