Pemuda PAS saran solat hajat kes tragis adik Zara

SALMAH MAT HUSAIN


KOTA BHARU: Pemuda PAS Kelantan menyaran diadakan solat hajat secara serentak di seluruh negeri itu supaya diberi petunjuk bagi menyelesaikan terhadap kes tragis menimpa arwah adik Zara Qairina, 13.

Ketuanya, Mohd Firdaus Mohamed Nawi berkata, solat hajat itu sebagai memohon diberi kekuatan kepada ibu arwah dalam menghadapi ujian berat tersebut.

Selain itu katanya memohon kepada Allah Taala supaya kes buli dihentikan sepenuhnya di negara ini.

“Kami juga mencadangkan supaya pasukan pemantau khas diwujudkan dan diletak di bawah seliaan Parlimen atau Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) 

berikutan ketidakyakinan rakyat terhadap pihak berkuasa dalam menangani kes tersebut.

“Pegawai penyiasat kes tersebut wajar diganti kerana dilihat terlalu longgar termasuk membenarkan jenazah adik Zara dikebumikan tanpa melalui proses bedah siasat,” katanya pada kenyataan. 

Sedangkan kata beliau mengikut prosedur biasa polis, kematian dalam keadaan sedemikian wajib melalui proses post-mortem bagi memastikan punca sebenar kematian.

Allahyarhamah Zara dikebumikan pada 17 Julai lalu selepas disahkan meninggal dunia dipercayai akibat terjatuh dari tingkat tiga bangunan asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha Limauan, Kinarut, Papar, sehari sebelum itu.

Bagaimanapun kematian tersebut dikaitkan dengan kes buli sehingga isu tersebut viral.

Berikutan itu Majistret Zuraini Ali Musa mengarah kubur arwah Zara digali semula untuk dilakukan bedah siasat. 

Mohd Firdaus juga mencadangkan pengetua sekolah terbabit yang didakwa bersikap lepas tangan digantung tugas sehingga siasatan selesai dijalankan.

“Ini adalah ujian yang amat berat buat ibu bapa serta keluarga dan sokongan padu rakyat amat diperlukan,” katanya.

Post a Comment

0 Comments