Pembinaan ECRL di Kelantan catat kemajuan 91.22 peratus


PASIR MAS: Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) menyantuni keluarga yang ditimpa musibah, golongan kurang berkemampuan dan rumah anak-anak yatim yang terletak di lokasi berhampiran jajaran ECRL sepanjang 665 kilometer. 

Semalam MRL menyerah cek sumbangan bernilai RM5,000 kepada Pengetua Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Kiambang, Noorazman Junus, sempena ‘Program Sekolah Angkat MADANI Bersama ECRL’. 

Selain itu sumbangan bakul makanan turut diagih kepada seramai 50 keluarga pelajar asnaf bagi meringankan beban mereka. 

Penyerahan tersebut disempurnakan Pengerusi MRL, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar. Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif MRL, Dato’ Sri Darwis Abdul Razak dan Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Dato’ Ts Aminuddin Hassim.

Pada majlis itu Shamsul Azri yang juga Ketua Setiausaha Negara mengadakan sesi ramah mesra bersama guru-guru, ibu bapa dan murid-murid SK Sri Kiambang. 

SK Sri Kiambang antara lima sekolah di negeri-negeri Pantai Timur yang menjadi sekolah angkat di bawah syarikat MRL. 

‘Program Sekolah Angkat Madani Bersama ECRL’ adalah sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat MRL untuk menyokong pembangunan pendidikan dan kebajikan warga sekolah. 

Menurut Jabatan Komunikasi Korporat Malaysia Rail Link Sdn Bhd, inisiatif itu selari dengan aspirasi Kerajaan Persekutuan menerusi Program Sekolah Angkat Madani.

Katanya, program tersebut menggalakkan penglibatan syarikat berkaitan kerajaan (GLC), syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan sektor swasta dalam membantu sekolah di seluruh negara. 

“MRL berharap bantuan yang disalurkan dapat memberi manfaat langsung kepada pelajar serta memperkasa pendidikan di kawasan luar bandar, di samping membina hubungan baik dengan komuniti setempat,” katanya pada satu kenyataan di sini.  

SK Sri Kiambang mempunyai kira-kira 1,200 pelajar dan lebih 100 guru serta kakitangan. 

Kerja-kerja pembinaan ECRL di Kelantan berjalan lancar dan mencatat kemajuan sebanyak 91.22 peratus setakat Julai lepas. 

Jajaran ECRL di Kelantan sepanjang 43 km turut melibatkan pembinaan dua stesen. 

Stesen Kota Bharu di Bandar Baru Tunjung berfungsi sebagai stesen penumpang sahaja, manakala Stesen Pasir Puteh di Jalan Cherang Tuli merupakan stesen penumpang serta kargo.

Post a Comment

0 Comments