Penghulu perlu jadi 'bapa ' kepada rakyat – MB Kelantan

Menteri Besar Kelantan YAB Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud

Oleh: Asri Hamat 

BACHOK , 30 Ogos – Penghulu di seluruh Kelantan diseru agar memainkan peranan sebagai pemimpin berjiwa rakyat dan dianggap sebagai “bapa” kepada masyarakat mukim masing-masing, kata Menteri Besar Kelantan YAB Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud.

Menurut beliau, penghulu bukan sekadar pegawai pentadbiran, tetapi mesti menjadi contoh kepimpinan yang dihormati, dihargai dan dekat dengan rakyat.

"Biar rakyat rasa penghulu ini sebagai bapa. Bila rakyat rasakan penghulu sebagai bapa, maka mereka mudah patuh kepada arahan penghulu. Dan penghulu pun mesti merasakan dirinya sebagai bapa kepada rakyatnya. Jadi kita sebagai penghulu mesti menjadi seorang bapa untuk masyarakat di kampung,” katanya ketika berucap merasmikan Program Hari Keluarga Penghulu Negeri Kelantan di Pantai Irama, di sini, hari ini. 

Tambah beliau, penghulu juga perlu menghayati dasar-dasar kerajaan negeri, terutamanya dasar “Penghayatan Membangun Bersama Islam”, iaitu fasa ketiga dalam pelaksanaan dasar pemerintahan Islam di negeri ini.

“Tahap pertama adalah 'Membangun Bersama Islam', diikuti dengan 'Merakyatkan Membangun Bersama Islam' dan sekarang kita berada di tahap ketiga iaitu 'Penghayatan Membangun Bersama Islam'. 

"Penghayatan bermaksud kita mesti laksanakan dasar yang diperkenalkan, bukan hanya bercakap sahaja.” jelasnya. 

Menteri Besar turut mengingatkan para penghulu agar sentiasa bersikap sabar dan matang dalam menghadapi cabaran serta melayani rakyat dengan bahasa dan pendekatan yang mudah difahami oleh semua lapisan masyarakat.

"Kita jadi pemimpin seperti sepohon pokok, apabila dibaling dengan batu, dibalas dengan buah,”ujarnya. 

Sementara itu, Pengarah Urus setia Penghulu Negeri Kelantan Zulkifli Mamat berkata, penganjuran Program Hari Keluarga Penghulu merupakan manifestasi kesediaan rakyat dan pemimpin akar umbi dalam mendukung dan menterjemah dasar kerajaan negeri.

Pengarah Urus setia Penghulu Negeri Kelantan Zulkifli Mamat

“Sehingga kini, terdapat 636 mukim di Kelantan dengan tujuh orang penghulu bagi setiap mukim, menjadikan jumlah keseluruhan ahli jawatankuasa majlis penghulu mencecah 4,500 orang. 

"Kekuatan jentera penghulu ini akan menjadi pemangkin dalam memastikan dasar “Penghayatan Membangun Bersama Islam” benar-benar dilaksanakan di setiap kampung dan mukim.

"Program ini juga bertujuan untuk melahirkan rasa kekeluargaan dalam kalangan penghulu sekali gus memperkukuh perpaduan dan kerjasama dalam melaksanakan amanah kepimpinan.” katanya. 

Dalam program tersebut, Menteri Besar turut menyampaikan Sijil Anugerah Rumah Bersih, Ceria dan Indah kepada penghulu yang berjaya di setiap DUN untuk menjadi contoh kepada masyarakat. 


Hadir sama, Exco Pelaburan, Perindustrian, Sumber Manusia, Perdagangan dan Keusahawanan YB Mejar (B) Dato' Md Anizam Ab Rahman, Presiden Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) YB Dato' Abdul Rahman Yunus, Ketua Jajahan Bachok Mohd Zaki Yusof dan Ahli-Ahli Dewan Negeri Kelantan (ADN) dan Ahli Parlimen.



Post a Comment

0 Comments