Oleh: Norzana Razaly
KOTA BHARU, 31 Ogos – Strategi Penghayatan Membangun Bersama Islam (PMBI) yang menjadi mekanisme pentadbiran Kerajaan Negeri Kelantan bagi melestari dasar Membangun Bersama Islam (MBI) yang dilaksanakan sejak lebih tiga dekad lalu adalah manifestasi kemerdekaan hakiki.
Menteri Besar Kelantan YAB Dato' Panglima Perang Ustaz Dato' Mohd Nassuruddin Daud berkata, PMBI mencerminkan iltizam kepimpinan untuk istiqamah menunaikan prinsip syariat dalam mengemudi pemerintahan negeri.
Menurutnya, dasar tersebut diteruskan sehingga hari ini sebagai manifestasi untuk memaknakan erti kemerdekaan yang sebenar.
“Pada saat kita diberikan amanah mentadbir, syariat Islam dijadikan panduan dan hala tuju agar kewajipan sebagai khalifah Allah SWT dapat dilaksanakan dengan jayanya.
"Inilah makna kemerdekaan hakiki, bebas daripada pengaruh luar dan tunduk hanya kepada peraturan Allah,” katanya ketika menyampaikan amanat sempena Majlis Sambutan Hari Kebangsaan 2025 Peringkat Negeri Kelantan di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini, malam tadi.
Beliau turut mengangkat pandangan Imam al-Ghazali yang menegaskan bahawa Islam dan pemerintahan adalah ibarat saudara kembar.
“Islam itu asas, pemerintahan itu penjaga. Apa yang tiada asas maka akan runtuh, dan apa yang tiada penjaga maka ia akan lenyap," petiknya.
Menurutnya, asas inilah yang memandu Kelantan untuk terus istiqamah dalam membangunkan negeri dengan acuan Islam sehingga menjadi benteng ketahanan rakyat menghadapi cabaran semasa.
“Sempena sambutan Hari Kebangsaan tahun ini, marilah kita memaknakan kemerdekaan dalam diri, mempertautkan perpaduan ummah dan meneguhkan iltizam untuk melihat agama, bangsa dan tanah air tercinta lebih gemilang,” serunya.
Dato’ Mohd Nassuruddin turut menegaskan harapan agar seluruh rakyat memperbaharui azam dan tekad untuk memajukan negeri berpandukan ajaran Islam, bukan hanya dari sudut pembangunan fizikal tetapi juga dari aspek jati diri, akhlak dan seluruh sistem kehidupan agar selari dengan kehendak Allah SWT.
0 Comments