Pesta Mmukat di Pantai Kemasin, Sabtu ini

YB Datuk Kamarudin Md Nor,
Exco Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri Kelantan

Oleh: Asri Hamat

KOTA DARULNAIM, 13 Ogos – Kerajaan Negeri Kelantan melalui Pusat Penerangan Pelancongan Negeri Kelantan (TIC) akan menganjurkan Pesta Mmukat iaitu teknik menangkap ikan secara tradisional menggunakan pukat tarik pada 16 Ogos ini, di Pantai Kemasin, Bachok.

Exco Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan YB Datuk Kamarudin Md Nor berkata, program berkenaan diadakan bagi mempopularkan dan menghidupkan semula aktiviti menangkap ikan menggunakan kaedah tradisional masyarakat pesisir pantai Kelantan, iaitu teknik pukat tarik.

“Pukat tarik ini merupakan sejenis pukat yang panjangnya boleh mencecah antara 100 hingga 200 meter. Satu bahagian pukat akan dibawa ke laut manakala dua kumpulan di darat akan menarik pukat tersebut secara bergilir-gilir. Dalam proses ini, ikan-ikan akan terperangkap di dalam pukat,” katanya kepada media selepas mesyuarat Exco di Mabna, Kompleks Kota Darulnaim, hari ini.

Menurut beliau, teknik ini biasanya dijalankan secara gotong-royong dalam kalangan komuniti tempatan dan melambangkan semangat kerjasama tradisional dalam kalangan masyarakat.

Program dijadualkan bermula pukul 8.00 pagi itu terbuka kepada orang ramai, dan para pengunjung dialu-alukan untuk hadir serta menyertai aktiviti sambil bersantai bersama keluarga.

“Selain menangkap ikan, kita juga akan adakan kenduri rakyat dengan jamuan gulai kawah untuk semua pengunjung. Ikan yang ditangkap juga boleh dinikmati bersama secara langsung,” tambahnya.

Dalam perkembangan lain, mengulas isu perobohan pengkalan haram di sempadan Malaysia–Thailand di Sungai Golok, Datuk Kamarudin menegaskan bahawa ia tidak memberi kesan kepada kehadiran pelancong ke negeri ini.

“Pelancong yang datang ke Kelantan menggunakan pintu masuk yang sah. Mereka yang menggunakan pengkalan haram bukanlah pelancong, tetapi tergolong dalam kategori lain. Jadi perobohan pengkalan haram ini tidak menjejaskan kemasukan pelancong dari luar,” ujarnya.

Post a Comment

0 Comments