ABDUL RAHMAN HARUN
KUALA LUMPUR: Bidang kuasa dan budi bicara Yang Dipertua Dewan Rakyat perlu dihadkan bagi mengelakkan kekeliruan seperti kes enam bekas Ahli Parlimen (MP) Bersatu yang menyatakan sokongan kepada kerajaan biarpun masih mewakili blok pembangkang.
Perkara itu dapat dilakukan melalui pindaan terhadap perkara 49 (A) Perlembagaan Persekutuan untuk menghadkan kuasa Speaker Dewan Rakyat.
Ahli parlimen Kota Bharu Dato' Seri Takiyuddin Hassan berkata, kerajaan perlu segera membuat pindaan perkara 49 (A) Perlembagaan Persekutuan.
"Ini bagi mengembalikan kuasa tafsiran undang-undang berkaitan penentuan status kekosongan kerusi kepada mahkamah sebagai kuasa memutus kerana ia melibatkan proses pilihan raya," katanya di Dewan Rakyat semalam.
Beliau berkata demikian ketika menyertai sesi perbahasan Rancangan Malaysia Ke 13 (RMK13).
Sebelum ini Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul dilapor memaklumkan enam Ahli Parlimen yang dipecat Bersatu kerana menyokong perdana menteri masih mewakili pembangkang di Dewan Rakyat.
Menurutnya keputusan itu dibuat mengikut Perlembagaan Persekutuan dan Peraturan Mesyuarat.
Ahli parlimen terbabit iaitu Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Zulkafperi Hanafi (Tanjong Karang).
Sebelum ini Jawatankuasa Pemandu Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) menyifatkan Yang Dipertua Dewan Rakyat khilaf memahami mekanisme, prinsip dan hasrat Akta Antilompat Parti apabila mengekalkan kerusi disandang enam bekas Ahli Parlimen Bersatu.
Katanya Johari mensia-siakan peluang untuk menguatkuasa dan memperkasa Akta Perlembagaan (Pindaan) (No.3) 2022 (Akta A1663) berkait larangan Ahli Dewan Rakyat bertukar parti.
“BERSIH melihat keputusan berkenaan membuka kelompangan undang-undang dan dikhuatiri menghapuskan keyakinan rakyat terhadap keluhuran Perlembagaan serta kedaulatan undang-undang,” katanya.
Takiyuddin berkata, kegagalan Yang Dipertua Dewan Rakyat mengisytihar status kekosongan enam kerusi parlimen terbabit dengan pelbagai alasan dilihat bercanggah dengan peruntukan perlembagaan.
Oleh itu kata beliau melalui pindaan tersebut sistem perundangan negara akan dilihat lebih bersih dari sebarang kekaburan dalam tafsiran undang-undang yang memberi manfaat melainkan pihak berkepentingan.
0 Comments