IPOH: Keresahan rakyat semakin membuak-buak sekarang kerana janji reformasi pentadbiran dan banteras rasuah dilihat hanya sekadar retorik politik.
Keadaan tambah parah apabila memimpin Pakatan Harapan (PH) sering kali mengeluarkan kenyataan tanpa asas yang berbaur fitnah.
Pemerhati politik tempatan, Dr Zulkeflee Yaacob berkata, pemimpin PH tidak pernah meminta maaf kerana gagal mengemukakan bukti kononnya PAS menerima rasuah daripada Umno pada kempen Pilihan Raya Umum (PRU) 14.
Katanya, ia menjadi modal politik PH sehingga memenangi pilihan raya ketika itu.
“Sedangkan SPRM mengumumkan tiada bukti transaksi dana RM90 juta wujud sehingga PAS menyaman Sarawak Report dan kes itu diselesaikan di luar mahkamah di United Kingdom.
“Begitu juga fitnah terhadap Tan Sri Muhyiddin Yasin kononnya mempertahankan pemberian subsidi bahan api kepada warga asing.
“Sebaliknya apa yang berlaku kerajaan mengarahkan Suruhanjaya Multimedia dan Komunikasi menyiasat termasuk juga melibatkan Muhyiddin,” katanya di sini.
Begitu juga kata beliau fitnah terhadap PAS dan Perikatan Nasional (PN) menerima dana daripada taukeh judi pasca-PRU 15 tidak dapat dibuktikan sehingga sekarang.
Menurutnya juga rakyat masih ingat penafian rakaman audio perbualan telefon di antara cikgu dan murid pada tahun 2021 yang dikatakan membabitkan Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Katanya kes tersebut tidak disiasat secara forensik sehingga menimbulkan prasangka masyarakat kerana sekadar dibuat penafian melalui media.
“Apa yang berlaku itu membuatkan rakyat semakin muak dengan urus tadbir kerajaan sekarang yang memperlihatkan cakap tidak serupa bikin,” ujarnya.
0 Comments