Ilmu, akhlak benteng kehidupan, lebih bernilai daripada harta – MB Kelantan

YAB Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud,
Menteri Besar Kelantan

Oleh: Norzana Razaly

KOTA BHARU, 28 Ogos – Ilmu dan akhlak adalah benteng kehidupan manusia dan nilainya jauh lebih tinggi berbanding harta serta kekayaan, tegas Menteri Besar Kelantan YAB Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud.

Beliau berkata, hakikat itu jelas sebagaimana firman Allah SWT dalam Surah al-‘Alaq yang menegaskan tuntutan menuntut ilmu sebagai asas kehidupan, bahkan mendahului kepentingan harta.

“Ilmu lebih bernilai daripada harta kerana ia menyelamatkan manusia di dunia dan akhirat.

"Saidina Ali RA pernah menyebut bahawa harta boleh lenyap pada bila-bila masa, tetapi ilmu kekal memberi manfaat.

“Nabi Sulaiman A.S memilih ilmu berbanding harta dan kuasa, lalu Allah mengurniakan kepadanya kekayaan serta kerajaan yang tidak pernah diberikan kepada sesiapa selepasnya.

"Begitu juga Nabi Daud A.S, yang dengan ilmunya mampu melastik kepala Jalut dan dua pengikutnya hanya menggunakan tiga biji batu secara serentak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika melancarkan Program E-Tuisyen Rakyat Sejahtera Kelantan 2025 di Kelantan Trade Centre (KTC), di sini, hari ini.


Dato’ Nassuruddin turut menegaskan bahawa kisah Ratu Semut dalam surah an-Naml berkaitan pemerintahan Nabi Sulaiman menjadi contoh bahawa pemimpin sejati ialah mereka yang sentiasa menjaga kesejahteraan rakyatnya.

Oleh itu, jelasnya lagi, Kerajaan Negeri Kelantan merupakan satu-satunya negeri di Malaysia yang membiayai perbelanjaan operasi 29 buah sekolah sesi pagi dan petang, berbeza dengan negeri Johor yang hanya menanggung sesi petang.

“Selain itu, kelas tuisyen juga ditambah untuk mengukuhkan kefahaman pelajar dalam semua subjek peperiksaan utama. Dengan pelancaran e-tuisyen percuma ini, kita yakin lebih ramai pelajar akan mencapai kecemerlangan akademik,” ujarnya.


Mengulas lanjut, beliau menerangkan bahawa pelajar Kelantan hari ini memiliki akses luas kepada kemudahan pembelajaran moden, termasuk pinjaman pendidikan kelolaan Yayasan Kelantan Darulnaim (YAKIN).

“Namun kemudahan ini mesti dimanfaatkan dengan sebaiknya. Jangan terjebak dengan budaya negatif seperti membuli.

"Kita mahu lahirkan pelajar bukan sahaja cemerlang dalam akademik, tetapi juga berakhlak mulia kerana ilmu mesti dibentengi akhlak,” ujarnya.

Post a Comment

0 Comments