NARATHIWAT: Ketokohan ulama terkenal Kelantan, Tok Pulai Chondong akan diimbas semula pada seminar anjuran Muzium al-Quran Melayu Raya pada 16 Ogos ini.
Seminar bertema ‘Ulama Agung Malaysia’ akan diadakan di Muzium al-Quran Melayu Raya Kampung Sela Anak Ayam Narathiwat bermula jam 9 pagi.
Ahli-ahli akademik dari Malaysia diundang bagi mendedahkan ketokohan Syeikh Abdul Samad (Tok Pulai Chondong) termasuk Timbalan Naib Canselor Universiti Malaya Prof Dr Zamri Radzi, pensyarah Universiti Sains Islam Malaysia Dr Abdullah Saleah dan Dr Zamrie Ibrahim dari Universiti Sains Malaysia.
Turut terbabit pada seminar terbabit pengasas Muzium al-Quran Melayu Raya Ustaz Lutfi Samae.
Program tersebut diadakan sempena Festival Pelancongan Islam Serantau yang bermula 15 hingga 17 Ogos ini.
Pelbagai program menarik diadakan termasuk ceramah agama, seminar al-Quran Sebagai Pusat Tumpuan Umat Islam, forum pelancongan Islam, persembahan warisan seni budaya Melayu, pameran kaedah pemuliharaan manuskrip Melayu.
Selain itu pameran manuskrip Melayu nusantara, pameran teknologi Melayu lama, pameran keris warisan Patani, tulisan khat dan motif, pakaian budaya Melayu tradisional, permainan tradisioal Melayu dan jualan makanan tradisional.
Pondok pertama
Tok Pulai Chondong merintis pembukaan institusi pengajian pondok pertama di Kelantan pada tahun 1820 di Pulai Chondong, Machang.
Pada peringkat awal Tok Pulai Chondong mendirikan sebuah surau kemudian dipertingkat kepada pusat pengajian pondok.
Pelajar datang dari pelbagai pelusuk nusantara menuntut ilmu agama di pondok tersebut termasuk Kampar, Sumatera, Kemboja, Patani, Terengganu, negeri-negeri lain di Tanah Melayu.
Muzium al-Quran Melayu Raya diwujudkan di Madrasah al-Ahmadiah al-Islamiah dengan mengumpul naskhah lama al-Quran, kitab-kitab lama dan peralatan membuat kertas.
Usaha itu dilakukan Ustaz Lutfi sejak 20 tahun lalu dengan mewujudkan Pusat Manuskrip di Madrasah al-Ahmadiah al-Islamiah.
Sehingga sekarang terdapat ratusan naskhah al-Quran dan kitab-kitab agama lama disimpan dan dibaikpulih di pusat manuskrip tersebut.
Dan 70 daripada manuskrip tersebut dikatalog oleh penyelidik dari Universiti Sains Islam Malaysia yang dijalankan pada tahun 2016 sehingga 2018.
0 Comments