SALMAH MAT HUSAIN
KOTA BHARU: Usia tidak menghalang Ustaz Nik A Rahman Nik Wan, 77 menambah ilmu di dada dengan mengikuti Pengajian Tafaqquh Fiddin di peringkat sijil
Kursus itu dianjur Bahagian Dakwah Halaqat, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan dengan kerjasama Kolej Universiti Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS), Yayasan Amanah Tok Kenali dan Institut Pemikiran Tok Guru Dato’ Bentara Setia.
Pada majlis graduasi bagi sesi ketiga semalam Nik A Rahman menerima sijil tamat pengajian disampaikan Menteri Besar Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud.
Beliau sehingga sekarang aktif menyampaikan kuliah agama di beberapa masjid di Gua Musang termasuk Masjid Bertam Baru, Masjid Limau Kasturi dan Masjid ECER.
“Saya memberi tumpuan dalam bidang akidah. Sebagai seorang pendakwah kena sentiasa belajar, cari pendekatan baharu untuk tarik minat masyarakat.
“Itu tujuan saya terus mengajar agama supaya dapat membantu masyarakat di semua sudut,” ujarnya ketika ditemui.
Hadir sama pada majlis bersejarah itu Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan Kelantan, Ustaz Mohd Asri Mat Daud.
Nik A Rahman turut menzahirkan hasrat untuk terus menyumbang tenaga dalam bidang dakwah selagi dikurniakan kesihatan dan kekuatan oleh Allah SWT.
“Selagi sihat, selagi Allah beri kekuatan, saya akan terus mengajar agama. Saya bimbang anak-anak muda hari ini terdedah kepada pengaruh tidak sihat terutamanya melalui media sosial,” katanya.
Menurut beliau, kemunculan pelbagai anasir luar menjadikan usaha dakwah sekarang lebih mencabar berbanding dahulu.
Dalam pada itu, penerima Anugerah Murabbi, Ruhamaa Salleh turut melahirkan rasa syukur di atas pengiktirafan yang diterima pada majlis tersebut.
Menurutnya, anugerah tersebut bukan satu kebanggaan, sebaliknya sebagai cabaran, ujian dan tanggungjawab besar yang perlu dipikul.
Ibu kepada lima orang anak itu kini berkhidmat sebagai Pembantu Pegawai Halaqat Dun Pasir Tumboh.
Beliau berkelulusan Ijazah Fiqh & Usul Fiqh di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) mula aktif mengajar bermula tahun 2018.
0 Comments