Oleh: Asri Hamat
OSAKA, 6 Ogos 2025 – Makanan tradisional Kelantan muncul sebagai antara tarikan utama di Pavilion Malaysia sempena World Expo Osaka 2025, apabila juadah seperti nasi kerabu, kuih tradisional dan pelbagai hidangan warisan tempatan diperkenalkan kepada pengunjung dari seluruh dunia.
Menurut Exco Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri Kelantan YB Datuk Kamarudin Md Nor, sambutan yang diterima daripada pelawat antarabangsa amat luar biasa, membuktikan potensi besar gastronomi Kelantan dalam memikat pelancong global.
“Kita berbangga apabila makanan tradisional Kelantan menjadi sebahagian daripada persembahan warisan negara di Pavilion Malaysia. Ini bukan sahaja memperkenalkan juadah kita kepada dunia, malah membuka ruang baharu untuk promosi pelancongan berbasis makanan dan budaya,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.
Tambah beliau, penyertaan Malaysia dalam ekspo berskala mega itu memberi peluang strategik kepada negeri-negeri untuk menonjolkan keunikan masing-masing dalam bidang pelancongan, inovasi dan budaya.
"Kelantan menggunakan pentas ini untuk menampilkan kekayaan khazanah kulinarinya sebagai identiti pelancongan yang kuat dan berdaya saing," jelasnya.
World Expo Osaka 2025 menghimpunkan wakil lebih 150 negara yang mempamerkan keunikan budaya, kemajuan teknologi dan potensi ekonomi.
Pavilion Malaysia menjadi antara tarikan utama pengunjung dengan konsep integrasi antara warisan budaya, teknologi hijau dan promosi destinasi pelancongan.
Pengenalan warisan makanan Kelantan turut dilihat seiring dengan pendekatan pelancongan “Indahnya Kelantan 2025” yang memberi penekanan kepada pelancongan berasaskan budaya, sejarah dan gaya hidup tradisional.
“Melalui platform berprestij ini, kita yakin warisan makanan Kelantan mampu menjadi ikon baharu pelancongan negeri yang bukan hanya dikenali di dalam negara, tetapi juga dirindui pelancong dari luar negara,” tambahnya.
Expo yang berlangsung di Osaka sehingga akhir 2025 itu dijangka menarik puluhan juta pengunjung dari seluruh dunia, menjadikan penyertaan Kelantan sebagai antara usaha berimpak tinggi memperkukuh jenama pelancongan negeri di pasaran antarabangsa.
0 Comments