BN hanya kuasai Kelantan 16 tahun

Oleh ASLANI M 


KOTA BHARU: Sejak negara mencapai kemerdekaan 68 tahun lepas, Kelantan hanya dikuasai Barisan Nasional (BN) selama 16 tahun, berbanding penguasaan PAS melewati 54 tahun.

PAS menguasai Kelantan pada pilihan raya umum (PRU) pertama selepas negara mencapai kemerdekaan, iaitu PRU 1959. Ketika itu PAS memenangi 28 daripada 30 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Namun kemenangan BN di Kelantan pada pilihan raya negeri pada Mac 1978 ekoran pengisytiharan darurat selepas Menteri Besar Dato' Muhammad Nasir disingkirkan melalui undi tidak percaya di DUN. Sebelum itu Perikatan menguasai Kelantan selama empat tahun bermula pilihan raya persekutuan 1955.

Bagaimanapun BN tidak mampu mengekalkan kuasa lebih lama di Kelantan apabila parti itu berpecah berikutan perebutan jawatan presiden Umno antara Dr Mahathir Mohamad dan Tengku Razaleigh Hamzah pada 1978.


Dan pada 21 Oktober ini kerajaan di bawah dasar Membangun Bersama Islam (MBI) akan menyambut ulangtahun ke-35. Sambutan ulangtahun tersebut akan diadakan di Kota Darulnaim.

Manakala pada 24 Oktober pula PAS Kelantan akan menyambut ulangtahun ke-70 selepas didaftar secara rasmi pada 1955.

Bagaimanapun cawangan PAS pertama di Pantai Timur Semenanjung ditubuh di Pasir Mas pada 23 Julai 1953 oleh Ustaz Amaludin Darus dan Ahmad Yatim.

Sempena ulangtahun tersebut PAS Kelantan akan menganjurkan sambutan khas yang bermula pada 21 hingga 24 Oktober ini.


Kemuncak sambutan 70 tahun PAS Kelantan akan diadakan pada 24 Oktober di Dataran Warisan Stadium Sultan Muhammad IV, dengan menampilkan pemimpin utama Perikatan Nasional (PN).

Program sambutan bermula dengan kuliah Pagi Jumaat Perdana akan disampaikan pendakwah bebas Ustaz Azhar Idrus.

Munajat perdana

Acara perasmian akan diadakan selepas itu. Pada hari sama akan berlangsung Hari Keluarga PAS Kelantan, jamuan rakyat, pertandingan pidato, Alam Ria PASTI, solat dan munajat perdana.

Selain itu anugerah tokoh, persembahan nasyid, pameran 14 PAS kawasan dan agensi kerajaan, pemeriksaan kesihatan percuma, nasihat guaman, pendaftaran ahli PAS, karnival jualan, himpunan penghulu, peserta Ladang Rakyat serta guru PASTI, SRITI dan SMITI.

Pada petang 24 Oktober akan diadakan himpunan ulama di Dewan Jubli Perak MPKB-BRI bermula jam 5 petang.

Pada masa yang sama akan berlangsung Himpunan Anak Muda di pentas utama di Dataran Warisan dan Himpunan Muslimat di Dewan KTC.

Kuliah Maghrib pula akan disampaikan Setiausaha Dewan Ulamak PAS Kelantan Ustaz Syed Ahmad Ridhwan Sayed Md Zain dan solat hajat serta munajat akan diadakan selepas solat Isyak.

Kemudian diikuti pengkisahan suka duka PAS Kelantan akan menampilkan Naib Presiden PAS Dato’ Mohd Amar Abdullah dan tokoh veteran.

Program tersebut akan diadakan di Dataran Warisan Stadium Sultan Muhammad IV, Dewan KTC, Dewan Jubli Perak MPKB-BRI, Padang Perdana dan Gelanggang Seni.

Ceramah perdana sambutan 70 tahun PAS Kelantan bakal menampilkan Presiden PAS Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin, Timbalan Mursyidul Am PAS Dato’ Bentara Kanan Ustaz Ahmad Yakob dan Menteri Besar Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud.

Galeri khas


Sementara itu orang ramai berpeluang mengimbau kembali detik-detik penubuhan PAS di Kelantan dan pentadbiran kerajaan negeri bermula sejak 1959.

Detik-detik bersejarah itu dipamerkan pada Galeri Khas PAS Kelantan di hadapan Pejabat Perhubungan PAS Negeri di Jalan Dato’ Pati.

Pelbagai catatan sejarah, dokumen dan foto-foto pimpinan PAS dipamerkan untuk tatapan generasi sekarang.

Anda boleh mengujungi galeri tersebut yang dibuka sejak dua minggu lepas.  

Post a Comment

0 Comments