![]() |
YB Datuk Kamarudin Md Nor, Exco Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri Kelantan |
Oleh: Syamimi Manah
Kredit foto: Unit Media Exco
KOTA BHARU, 22 September – Kelantan kini melangkah setapak ke hadapan dalam segmen pelancongan rekreasi dengan memperkenalkan beberapa tapak khas motorhome dan karavan, sekali gus menjadikan negeri ini destinasi baharu bagi peminat kembara jalan raya.
Exco Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan YB Datuk Kamaruddin Md Nor berkata tiga lokasi utama telah dikenal pasti iaitu Gunung Reng di Jeli, Jeram Mengaji di Pasir Puteh dan Pantai Kemasin di Bachok.
“Tapak ini dilengkapi kemudahan asas seperti bekalan air, elektrik dan tandas bagi memberi keselesaan kepada pengunjung. Gunung Reng mampu menampung 80 motorhome, Jeram Mengaji 120, manakala Pantai Kemasin lebih 300 kenderaan rekreasi,” katanya selepas merasmikan pembukaan semula Pasar Pelancongan Pengkalan Datu, semalam.
Beliau menegaskan bahawa penyediaan tapak tersebut mampu menarik kedatangan pelancong serta memberi ruang kepada usahawan tempatan memasarkan produk dan makanan tradisional, sekali gus membuka peluang ekonomi baharu.
Menurutnya lagi, fenomena motorhome di Kelantan semakin rancak selepas Pesta Rakyat Gunung Reng hujung minggu lalu yang menarik penyertaan 47 motorhome. Sejak itu, aktiviti konvoi dan percutian berkumpulan kenderaan rekreasi semakin mendapat tempat dalam kalangan pelancong domestik dan antarabangsa.
“Penganjur acara kini menekankan elemen budaya dalam program rasmi, swasta dan komuniti. Langkah ini bukan sahaja memartabatkan identiti Kelantan, malah memberi nilai tambah kepada produk pelancongan negeri,” ujar Datuk Kamaruddin.
Beliau juga yakin melalui penyediaan tapak motorhome yang lebih sistematik, Kelantan dijangka muncul sebagai hub baharu pelancongan rekreasi jalan raya, menggabungkan kembara motorhome, keindahan alam, dan warisan budaya yang unik di negeri ini.
“Selain keindahan alam semula jadi, Kelantan turut mengekalkan pesona budayanya. Dikir barat, silat, wau, mak yong, pakaian serta makanan tradisional terus dipersembahkan sebagai sebahagian daripada pakej pelancongan negeri,” jelasnya.
0 Comments